Itu kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan dua perlawanan persahabatan yang dilalui skuad kebangsaan bertemu Zimbabwe atau lebih tepat menentang barisan pemain kelab Liga Perdana Zimbabwe, Monomotapa United.
Jika pada Ahad lalu di Stadium KLFA, Cheras skuad kebangsaan begitu garang mencatat kemenangan 4-0, petang semalam di Stadium Shah Alam mereka hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan yang sama.
Gol tunggal itu diperoleh menerusi gerakan solo pemain pertahanan kanan, V. Thirumurugan pada minit ke-38 yang disudahkannya menerusi sepakan leret dari dalam kotak penalti.
Selebihnya, tiada langsung percubaan bahaya dilakukan sehinggalah pada minit ke-90 apabila rembatan kencang Stanley Bernard Samuel ditepis penjaga gol Zimbabwe dan Ahmad Shakir Md. Ali yang menyambar bola tersebut gagal menyempurnakannya dengan baik.
Kelemahan di barisan serangan diakui jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yang menganggap barisan penyerang muda negara memerlukan masa untuk memantapkan sentuhan penyudah mereka.
"Memang pada perlawanan pertama kita berjaya menjaringkan empat gol tetapi hari ini (semalam) hanya satu gol berjaya dihasilkan. Kita mencipta banyak peluang tetapi tidak cukup agresif dalam melakukan sentuhan penyudah.
"Saya kena terima hakikat mereka ini penyerang-penyerang muda dan banyak lagi yang perlu diperbaiki," katanya pada sidang media selepas perlawanan petang semalam.
Pada perlawanan tersebut, Rajagobal meletakkan Norshahrul Idlan Talaha sebagai penggempur utama sambil dibantu Amri Yahyah sebelum beliau memasukkan Stanley, Farderin Kadir dan Ahmad Shakir pada babak kedua.
Penyerang utama, Zaquan Adha Radzak tidak disenaraikan selepas dia mengalami kecederaan pada penghujung separuh masa pertama pada perlawanan pertama Ahad lalu.
Menjelang pertemuan dengan Manchester United petang Sabtu ini, Rajago- bal berkata, beliau sudah mempunyai ke- sebelasan utama yang bakal diturunkan kelak.
"Kita ada tiga hari lagi untuk berlatih dan saya mahu lihat sikap pemain agar terus bersemangat merebut tempat.
"Kita optimis untuk berhadapan United. Kami akan cuba memberikan yang terbaik dan termampu di hadapan penon- ton sendiri nanti," jelasnya.
Sementara itu, penolong jurulatih Zimbabwe, Taurayi Mangwiro berkata, persembahan pasukannya sedikit meningkat berbanding aksi pertama Ahad lalu.
"Kita telah mengubah sedikit taktik dan kami berjaya mengelak dibolosi banyak gol seperti pada Ahad lalu. Saya lihat Malaysia sebuah pasukan yang bagus," kata Mangwiro.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan