Kota Bharu: Kelantan menerajui Kumpulan G selepas berpesta gol ketika
membenam SHB Da Nang dari Vietnam 5-0 dalam saingan Piala Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam
tadi.
Kemenangan itu juga menyaksikan The Red Warriors mengekalkan rekod
tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak musim lalu selain meleburkan
SHB Da Nang yang tidak pernah tewas selepas tiga perlawanan sejak
saingan AFC bermula.
Seawal minit pertama, pertahanan tuan rumah sudah diuji menerusi rembatan penyerang import SHB Da Nang, Merlo Sebastian Gaston selepas menerima lorongan Giang Tran Quach Tan namun ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamat keadaan.
Tersentak asakan awal pelawat, anak didik skuad kendalian Bojan Hodak
mula mengatur gerakan pada minit kedua menerusi penyerang import
bertubuh sasa, Dickson Nwakaeme yang melakukan hantaran lintang sebelum
pemain veteran, Indraputra Mahayuddin melakukan rembatan namun melepasi
palang gol.
Dua minit berselang, Nwakaeme membuka tirai jaringan menerusi percubaan luar kotak penalti selepas menerima hantaran pemain sayap, Mohd Faiz Subri yang mempamer kelincahan melepasi tiga pemain lawan.
