Memaparkan catatan dengan label bharian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bharian. Papar semua catatan

19 Feb 2011

Harimau Muda A, Kelantan mara

PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kanan) menyelamatkan cubaan penyerang T-Team (tengah), Mohd Haris Safwan Kamal dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

T-Team, SDM Navy putih mata terkeluar dari saingan kalah mati Piala FA

NORSHAHRUL Idlan Talaha pastinya menjadi pemain paling lega di atas padang ketika Norfadly Alias gagal menyempurnakan penalti penentuan yang menyaksikan T-Team tersingkir dari Piala FA dan Kelantan mara ke pusingan kedua dengan keputusan 6-5 selepas permainan 120 minit terikat 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Norshahrul, pemain yang menyerlah pada Piala AFF Suzuki bersama skuad kebangsaan, gugup ketika mendapat peluang lebih awal untuk menjamin laluan The Red Warriors ke pusingan seterusnya apabila sepakannya pada detik terakhir 90 minit melepasi palang.

Namun Norshahrul menebus kesilapannya ketika mengambil sepakan pertama pada penentuan dengan kedua-dua pasukan masing-masing menyempurnakan sepakan terakhir sehingga Norfadly melakukan kesilapan apabila sepakannya melambung tinggi.

Sebelum itu, Mohd Rizal Fahmi membuka jaringan pada minit ke-52 apabila menanduk masuk sepakan sudut Mohd Nurul Azwan Roya tetapi selang sembilan minit, Indra Putra Mahayudin meledakkan rembatan kaki kanan ke penjuru atas gawang selepas menerima hantaran lintang Shamsul Kamal Mohamad dari kiri untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Di Stadium Shah Alam, Harimau Muda A berpesta gol pada tirai pusingan pertama dengan membaham SDM Navy 4-0.

K Ravindran menjadi wira buat Harimau Muda A apabila membolosi gawang yang dikawal Safril Hafizzie pada minit ke-10 dan 48, disusuli Mohd Amer Saidiin (m-37) dan Muhd Ferris Danial (m-77)

Oleh Sukhairi Abd Thani dan Hamid Salleh 
bhsukan@bharian.com.my 
2011/02/19

16 Feb 2011

Peminat kecewa tiada siaran langsung bola sepak Liga Malaysia

SAYA ingin menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), RTM dan Astro Arena penaja utama Liga Malaysia 2011 selepas Telekom Malaysia (TM) tidak lagi mempunyai hak sebagai penaja.

Saya amat dukacita kerana sudah tiada lagi siaran secara langsung perlawanan bola sepak Liga Super 2011 di TV1. Cuma perlawanan Piala Sumbangsih Astro Sultan Haji Ahmad Shah pada 29 Januari lalu perlawanan antara Selangor dan Kelantan saja yang disiarkan secara langsung di TV1Untuk makluman pihak terbabit bukan semua penduduk Malaysia mampu untuk melanggan siaran berbayar Astro. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku ke atas sukan nombor satu negara ini.

Seharusnya pihak penaja berkompromi dengan mana-mana stesen televisyen tidak berbayar untuk berkongsi menyiarkan siaran secara langsung perlawanan bola sepak Liga Malaysia, terutama sekali TV1 yang mempunyai liputan meluas, walaupun di mana saja penduduk akan mendapat siarannya dengan baik dan jelas.

Janganlah memikirkan keuntungan semata-mata, jagalah perasaan peminat bola sepak tempatan yang tidak mampu untuk melanggan Astro.


Selepas memasuki minggu keempat berlangsungnya Liga Malaysia, masih tiada siaran secara langsung di TV1.

Kami peminat bola sepak tempatan berasa hampa apabila setiap Sabtu tiada lagi siaran langsung bola sepak Liga Malaysia.
Kami berharap pihak terbabit mencari jalan terbaik bagi penyelesaian dan bertolak ansur dalam perkara ini bagi membolehkan kami sebagai peminat dan penyokong bola sepak tempatan kembali menonton perlawanan bola sepak Liga Malaysia 2011 pada setiap hujung minggu secara langsung.


Diharap pihak terbabit, usahlah terlalu memikirkan keuntungan dan mengorbankan minat rakyat kepada bola sepak. Sebab setiap sen yang dikeluarkan akan membabitkan perbelanjaan keluarga, fikirkanlah.

RAMLAN YUSUF,
Teluk Intan, Perak.


Artikel ini diambil dari surat yang dikirimkan kepada berita harian

10 Feb 2011

Khairul Fahmi dapat banglo RM100,000

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

2011/02/10
KERAJAAN negeri meluluskan pembinaan sebuah rumah banglo setingkat bernilai RM100,000 di Pengkalan Chepa sebagai hadiah kepada penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang bertindak cemerlang membantu skuad kebangsaan muncul juara dalam Piala Suzuki AFF, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood, berkata tapak rumah itu yang terletak berhampiran kawasan rumah pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, disediakan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). “Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini (semalam) sudah meluluskan pembinaan sebuah rumah banglo setingkat di Taman Kurnia Jaya sebagai hadiah dijanjikan kepada Khairul Fahmi sebelum ini,” katanya, semalam.

Pada 3 Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengumumkan pemberian rumah kepada Khairul Fahmi sebagai hadiah mengenang jasa serta pengorbanan pemain kebangsaan itu.

Sementara itu mengulas mengenai ada pemain The Red Warriors yang tercicir daripada menerima sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000 baru-baru ini, Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri tidak terbabit dalam perkara ini kerana sumbangan sudah diberi kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Empat bekas tonggak Kelantan, Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhamad, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Azizi Mat Rose dikatakan dinafikan hak mereka dalam menerima sumbangan kerajaan negeri selepas membantu skuad Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010.

20 Dis 2010

Fahmi tolak pujian berlebihan

Daripada Syed Riduan Ahmad di Hanoi, Vietnam
smriduan@nstp.com.my
2010/12/20

FAHMI (kiri) bersama rakan sepasukan tiba di LCCT Sepang dari Hanoi, petang semalam.
FAHMI (kiri) bersama rakan sepasukan tiba di LCCT Sepang dari Hanoi, petang semalam.
‘Mungkin nasib sebelahi saya’

TIDAK dinafikan kelibat Khairul Fahmi Che Mat ada kaitan dengan kemaraan skuad negara ke final Piala Suzuki AFF tapi penjaga gol muda itu pantas menafikan bicara hangat itu ketika ini.

“Kejayaan ini hasil kerja sepasukan,” katanya, semalam yang enggan sama sekali meletakkan dirinya selaku wira tunggal sekali pun ramai beranggapan aksinya menyelamatkan beberapa percubaan tepat Vietnam pada saingan separuh akhir antara faktor utama anak didik K Rajagobal melangkah ke perlawanan akhir edisi 2010.

Hakikatnya terbukti apabila penjaga gol Kelantan itu yang pertama kali menyarung jersi kebangsaan hanya sekali tertewas sepanjang kempen kali ini dan pada saingan separuh akhir - kebal sepanjang 180 minit bertemu Vietnam tempoh hari.

“Mungkin nasib menyebelahi saya, tetapi saya rasa kerja keras semua pemain adalah punca utama kita berjaya ke final. Kami berjaya mengekalkan disiplin dan strategi permainan diterapkan jurulatih (Rajagobal).

“Kini masih ada baki 180 minit yang perlu dihadapi bagi memastikan kempen kali ini benar-benar berjaya.”

Penjaga gawang berusia 21 tahun itu turut berharap dapat mencatat sejarah paling manis dengan menjulang Piala Suzuki AFF, tahun ini selepas membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia, Oktober lalu.
“Saya harap kejayaan pada kempen kali ini akan menjadi perangsang buat saya untuk terus mengukir kerjaya cemerlang sebagai penjaga gol, sekali gus membantu negara membentuk skuad mantap pada masa depan,” katanya.

Sesungguhnya, kejayaan layak ke final harus mengundang bicara peminat tanah air yang pasti bersetuju andai disebut kemaraan skuad bola sepak negara ke final Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam tempoh 14 tahun sejak diperkenalkan ada kaitan dengan kemampuan pasukan kendalian Rajagobal mengekang asakan lawan.

Bermula dengan barisan pertahanan kental diterajui Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mohd Muslim Ahmad, gawang negara tampak begitu kebal dan jika barisan ini berjaya dibolosi, kubu terakhir dikawal ketat Khairul bukan calang-calang kebal.

18 Dis 2010

Norshahrul belum puas ledak dua gol

PENYERANG kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha masih belum puas dengan dua gol jaringannya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF musim ini, dan berharap dapat menambahnya di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.

“Tetapi lebih penting ialah skuad negara layak ke final,” kata penyerang 24 tahun dari Terengganu itu. “Memang kalau boleh saya mahu menambah gol, tetapi dengan Safee (Sali) menemui kembali rentak jaringan, saya tidak kisah siapa yang dapat membolosi gawang Vietnam.”
Namun Norshahrul mengakui, cabaran kali ini bukan mudah kerana Vietnam pasti memperketatkan barisan pertahanannya selepas dua kali gawang mereka dibolosi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

"Pada pertemuan pertama di Bukit Jalil, pertahanan Vietnam agak longgar dan membolehkan kita mencipta peluang termasuk dua gol Safee. Tetapi keadaan di Hanoi pasti berubah kerana mereka akan mempertingkatkan pertahanan,” katanya.

“Kami berjanji akan memberikan lebih daripada 100 peratus untuk perlawanan esok (malam ini) bagi memastikan negara layak mara ke final tahun ini.”

17 Dis 2010

3S Kelantan dedah 9 muka baru

KEHILANGAN lima tonggak utama yang menjulang Kelantan hingga muncul juara Piala Malaysia 2010, tidak menggusarkan pasukan bergelar The Red Warriors itu yang membariskan sembilan muka baru dalam persiapan menghadapi Liga Malaysia 2011.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyatakan usaha menyenaraikan 85 peratus anak Kelantan dalam pasukan itu bagi berdepan musim 2011 bertujuan mengembangkan lagi bakat lebih ramai pemain untuk mewarnai bola sepak negara. Berbekalkan konsep 3S (Skill, Speed dan Stamina), Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, berkata Red Warriors mahu memanfaatkan kelebihan pemain senior dan muda dalam mencipta keserasian apabila mereka digandingkan pengendali pasukan, B Sathianathan.

Bermula dengan kekebalan gawang oleh Khairul Fahmi Che Mat, lilitan kapten pasukan itu akan dipakai pemain berpengalaman, Mohd Badhri Mohd Radhi, manakala pemain paling bernilai Liga Malaysia 2010, Norshahrul Idlan Talaha akan mengetuai jentera serangan