SAYA ingin menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), RTM dan Astro Arena penaja utama Liga Malaysia 2011 selepas Telekom Malaysia (TM) tidak lagi mempunyai hak sebagai penaja.
Saya amat dukacita kerana sudah tiada lagi siaran secara langsung perlawanan bola sepak Liga Super 2011 di TV1. Cuma perlawanan Piala Sumbangsih Astro Sultan Haji Ahmad Shah pada 29 Januari lalu perlawanan antara Selangor dan Kelantan saja yang disiarkan secara langsung di TV1Untuk makluman pihak terbabit bukan semua penduduk Malaysia mampu untuk melanggan siaran berbayar Astro. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku ke atas sukan nombor satu negara ini.
Seharusnya pihak penaja berkompromi dengan mana-mana stesen televisyen tidak berbayar untuk berkongsi menyiarkan siaran secara langsung perlawanan bola sepak Liga Malaysia, terutama sekali TV1 yang mempunyai liputan meluas, walaupun di mana saja penduduk akan mendapat siarannya dengan baik dan jelas.
Janganlah memikirkan keuntungan semata-mata, jagalah perasaan peminat bola sepak tempatan yang tidak mampu untuk melanggan Astro.
Selepas memasuki minggu keempat berlangsungnya Liga Malaysia, masih tiada siaran secara langsung di TV1.
Kami peminat bola sepak tempatan berasa hampa apabila setiap Sabtu tiada lagi siaran langsung bola sepak Liga Malaysia.
Kami berharap pihak terbabit mencari jalan terbaik bagi penyelesaian dan bertolak ansur dalam perkara ini bagi membolehkan kami sebagai peminat dan penyokong bola sepak tempatan kembali menonton perlawanan bola sepak Liga Malaysia 2011 pada setiap hujung minggu secara langsung.
Diharap pihak terbabit, usahlah terlalu memikirkan keuntungan dan mengorbankan minat rakyat kepada bola sepak. Sebab setiap sen yang dikeluarkan akan membabitkan perbelanjaan keluarga, fikirkanlah.
RAMLAN YUSUF,
Teluk Intan, Perak.
Artikel ini diambil dari surat yang dikirimkan kepada berita harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan