Daripada Syed Riduan Ahmad di Hanoi, Vietnam
smriduan@nstp.com.my
2010/12/20
FAHMI (kiri) bersama rakan sepasukan tiba di LCCT Sepang dari Hanoi, petang semalam.
‘Mungkin nasib sebelahi saya’
TIDAK dinafikan kelibat Khairul Fahmi Che Mat ada kaitan dengan kemaraan skuad negara ke final Piala Suzuki AFF tapi penjaga gol muda itu pantas menafikan bicara hangat itu ketika ini.
“Kejayaan ini hasil kerja sepasukan,” katanya, semalam yang enggan sama sekali meletakkan dirinya selaku wira tunggal sekali pun ramai beranggapan aksinya menyelamatkan beberapa percubaan tepat Vietnam pada saingan separuh akhir antara faktor utama anak didik K Rajagobal melangkah ke perlawanan akhir edisi 2010.
Hakikatnya terbukti apabila penjaga gol Kelantan itu yang pertama kali menyarung jersi kebangsaan hanya sekali tertewas sepanjang kempen kali ini dan pada saingan separuh akhir - kebal sepanjang 180 minit bertemu Vietnam tempoh hari.
“Mungkin nasib menyebelahi saya, tetapi saya rasa kerja keras semua pemain adalah punca utama kita berjaya ke final. Kami berjaya mengekalkan disiplin dan strategi permainan diterapkan jurulatih (Rajagobal).
“Kini masih ada baki 180 minit yang perlu dihadapi bagi memastikan kempen kali ini benar-benar berjaya.”
Penjaga gawang berusia 21 tahun itu turut berharap dapat mencatat sejarah paling manis dengan menjulang Piala Suzuki AFF, tahun ini selepas membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia, Oktober lalu.
“Saya harap kejayaan pada kempen kali ini akan menjadi perangsang buat saya untuk terus mengukir kerjaya cemerlang sebagai penjaga gol, sekali gus membantu negara membentuk skuad mantap pada masa depan,” katanya.
Sesungguhnya, kejayaan layak ke final harus mengundang bicara peminat tanah air yang pasti bersetuju andai disebut kemaraan skuad bola sepak negara ke final Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam tempoh 14 tahun sejak diperkenalkan ada kaitan dengan kemampuan pasukan kendalian Rajagobal mengekang asakan lawan.
Bermula dengan barisan pertahanan kental diterajui Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mohd Muslim Ahmad, gawang negara tampak begitu kebal dan jika barisan ini berjaya dibolosi, kubu terakhir dikawal ketat Khairul bukan calang-calang kebal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan