21 Jan 2016

Kelantan guna jersi jenama DSV musim ini

KOTA BHARU: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan mengeluarkan empat rekaan jersi jenama DSV (Datuk Seri Vida) yang berkualiti tinggi untuk digunakan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, daripada empat rekaannya itu, dua jersi warna merah jambu akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri. 

Beliau berkata, PQPTRW akan menyarung jersi dengan kombinasi warna merah jambu dan putih serta merah jambu dengan hitam di tempat lawan. "Pereka saya sudah menyiapkan keempat-empat jersi berkenaan dengan kain yang berkualiti tinggi bertaraf lapan bintang, cuma kedudukan 12 logo agak sukar disusun. Jadi kita memerlukan sedikit masa lagi untuk mencetak jersi terbabit. 

"Keempat-empat jersi ini akan dilancarkan pada 10 Februari ini dengan keluaran edisi pertama sebanyak 10,000 helai. Kita mahu penyokong memakai jersi ini dengan penuh semangat menjelang pembuka tirai Liga Super 2016 pada 13 Februari ini.


 "Jersi merah jambu dengan rekaan eksklusif termasuk barangan rasmi PQPTRW akan dipertontonkan kepada umum dalam majlis pelancaran secara besar-besar pada April ini," katanya. Mengulas mengenai kontrak The Red Warriors (TRW) yang masih lagi berbaki setahun bersama Nike, Dr Vida yang juga pengasas Vida Beauty Qu Puteh berkata, perkara itu sudah diselesaikan secara baik dengan syarikat pengeluar, pengedar dan pembekal barangan Nike di negara ini, HORC Sports Sdn Bhd.

 "Kedua-dua pihak sudah mencapai keputusan untuk menamatkan kontrak. Namun, syarikat berkenaan akan bertindak sebagai pengedar produk jenama DSV. "Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd pula akan bertindak sebagai pengeluar dan pembekal rasmi jersi serta barangan PQPTRW di bawah jenama DSV," katanya.

 BH Sukan semalam melaporkan Dr Vida tetap dengan pendirian mahu PQPTRW memakai jersi yang dikeluarkan syarikatnya, bukan daripada syarikat barangan sukan, Nike. Dr Vida berkata ini kerana syarikatnya sudah menyediakan tiga jersi baharu untuk disediakan kepada pemain Kelantan bagi saingan Liga M musim ini.

sumber: Berita Harian

Tiada ulasan: