21 Jan 2016

Merah, merah jambu pilihan Kelantan

TIDAK ada istilah pertama atau kedua, sebaliknya skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors bebas menggunakan sama ada set jersi berwarna merah atau merah jambu melibatkan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kekeliruan berhubung warna jersi pasukan itu selesai apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, pihaknya sudah memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk menggunakan kedua-dua warna itu.

“Kita jumpa FMLLP dan Datuk Seri Afandi Hamzah (Timbalan Presiden FAM) baru-baru ini dan beritahu warna kita (di gelanggang sendiri) adalah merah dan merah jambu. Kita dah minta izin FAM dan maklumkan kita ada dua warna sekarang.



“Tak ada nombor (pilihan) satu atau dua, macam sesetengah orang faham. Warna away (di tempat lawan) pula adalah biru dan merah jambu atas permintaan penaja. Saya sudah bincang dengan Datuk Seri Hasmiza Othman dan beliau tidak ada masalah tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan, Kelantan menentang Yala United FC di Kota Bharu, malam kelmarin.

Isu tersebut timbul selepas Annuar dipetik menerusi laman sosialnya baru-baru ini mengumumkan Kelantan akan menggunakan warna tradisi mereka, merah untuk perlawanan di tempat sendiri dan putih serta biru di gelanggang lawan.

Bagaimanapun, Hasmiza atau dikenali Dr Vida bertegas mahu pasukan itu menggunakan warna merah jambu berdasarkan salah satu daripada 33 syarat yang ditetapkan selepas syarikatnya, Vida Beauty bersetuju menaja pasukan itu.

Dalam masa sama, Annuar menjelaskan, terdapat beberapa perkara yang berkaitan pasukannya tidak boleh diubah sewenang-wenangnya kerana ia menyalahi peraturan bola sepak.

“Misalnya, warna rasmi kita adalah merah. Itu tidak boleh nak ditiadakan, nak tambah tak apa. Nama The Red Warriors nak tambah tak apa, nak ditiadakan tak boleh, tetapi logo dan nama pasukan tak boleh, pasukan tetap pasukan Kelantan,” katanya.

Mengulas mengenai hasrat Dr Vida mahu dilantik selaku pengurus eksekutif pasukan itu, Annuar memberitahu, Penasihat Kehormat persatuan itu mungkin kurang memahami sepenuhnya selok-belok pengurusan bola sepak.

“Kita kena terangkan siapa yang boleh (layak) duduk, nak duduk kena ada akreditasi dan ada tugas tertentu. Kena tahu tugas pengurus, tak boleh datang masa hari perlawanan sahaja, kena jenguk juga semasa latihan.

Mungkin Dr Vida belum faham, tak mengapalah, saya sentiasa beri pandangan dan beliau tak ada masalah,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: