15 Jun 2014

TAGOE SEKADAR PERSEMBAHKAN LARIAN

Tiada sebarang sumbangan yang dapat dilakukan oleh Prince Tagoe biarpun dia diberi peluang beraksi selama 30 minit ketika Kelantan tewas 1-0 kepada Pahang dalam saingan Liga Super 2014.
Pemain import dari Ghana itu hanya sekadar "berlari" tanpa sentuhan menarik, membantu serangan, mahupun gol, selepas dimasukkan menggantikan Tengku Hasbullah yang mengalami kecederaan di minit ke-60. 

Terdahulu, sejurus selepas wisel pertama dibunyikan, kedua-dua pasukan terus saling menyerang dengan Kelantan memiliki peluang terbaik seawal minit ke-2 apabila Khairul Izwan membuat hantaran ke depan gawang Pahang. Ketika keadaan kelam kabut di sana, Wan Zaharulnizam gagal mengawal baik, sekaligus mudah halang pertahanan lawan.

Pada minit ke-10, Gopinathan menggunakan kelajuannya dan berjaya melepasi pertahanan lawan sebelum membuat hantaran ketika Dickson Nwakaeme sedang menanti dengan penuh harapan. Bagaimanapun, Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat lebih bersedia untuk menangkap kemas. 

Di minit ke-19, Nwakaeme muncul secara tiba-tiba untuk melakukan rembatan deras ketika dalam keadaan sukar untuk memaksa Fahmi melayangkan badan menepis keluar.  


Di minit ke-27, Gopi melakukan rembatan di luar dari kotak penalti dengan baik, namun bola sedikit melewati gawang Kelantan.

Hafiz Kamal dipersalahkan di minit ke-39 kerana menarik belakang Badri Radzi, sekaligus memberikan sepakan percuma untuk Kelantan. Namun sepakan tersebut dipersia-siakan. 

Gopi mempunyai idea yang baik selepas melakukan lorongan untuk Shahrizan, namun Nik Shahrul Azim berjaya mengeluarkan bola sebelum sampai ke kaki Shahrizan.

Di minit, ke-45 asakan bertubi-tubi dilakukan kearah gawang Kelantan apabila Nwakaeme melakukan percubaan berbahaya, namun ditepis keluar oleh Fahmi. Bola yang muntah sekali lagi muncul apabila Azamuddin Akil melakukan rembatan deras, tetapi Fahmi sekali lagi menyelamatkan maruah Kelantan dengan menumbuk keluar.

Selepas 63 minit menanti, akhirnya gol Pahang muncul apabila Matias Conti merembat deras selepas dia menyambut tandukan Gopi. Selepas jaringan tersebut dilakukan, tempo permainan Pahang nyata menjadi lebih rancak.

Di minit ke-65, Nwakaeme membuat umpanan yang baik untuk Azamuddin Akil, namun pemain itu dilihat tidak bersedia.  

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu berkesudahan dengan keputusan 1-0, berpihak kepada Pahang.  

sumber : Stadium Astro

Tiada ulasan: