11 Apr 2013

Kelantan layak ke pusingan kedua

Kelantan mengesahkan tempat ke pusingan kedua, Piala AFC selepas menewaskan wakil dari Vietnam,  SHB Da Nang FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium San Chi Lang.

Pada babak pertama perlawanan, SHB Da Nang FC banyak mengasak kubu Kelantan dengan memaksa pertahanan mereka bekerja keras.

Pada 10 minit sebelum berhenti rehat, Da Nang hampir-hampir menjaringkan gol apabila keadaan kelam kabut berlaku di depan pintu gol Kelantan ketika penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, Da Nang menggandakan asakan dengan banyak menguasai permainan. Da Nang mempunyai peluang terbaik apabila memiliki sepakan percuma di luar kota panalti, namun tendangan pemainnya hanya menggegarkan palang gol.

Kelantan agak tenggelam. Sedar dengan perkara itu, Bojan Hodak memasukan Indra Indra Putra Mahayuddin menggantikan Rizal Fahmi Rosid bagi mempertajamkan serangan mereka.

Walaupun Da Nang banyak mengatur serangan sepanjang perlawanan, namun mereka dikejutkan dengan jaringan pelawat apabila penyerang import Dickson Nwakaemi muncul melakukan jaringan di minit ke-72 selepas menerima hantaran jauh daripada Dimi Petratos.

Da Nang dilihat agak tertekan apabila masa semakin suntuk untuk mereka menyamakan kedudukan. Asakan demi asakan dihalakan kepada kubu Kelantan, namun pertahanan Kelantan dilihat cukup ampuh mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi. Perlawanan berkesudahan Kelantan menang 1-0.

Kemenangan itu membolehkan pasukan 'The Red Warriors' mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan dan mengungguli kumpulan dengan 10 mata manakala kelab Vietnam itu menghuni tangga kedua dengan enam mata.

Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke pusingan 16 pasukan pada saingan pusingan kedua pada 14 dan 15 Mei ini.

Walaupun masih berbaki dua perlawanan, kedudukan Kelantan tidak tergugat ke pusingan kedua apabila pasukan tangga ketiga, Maziya Sports & Recreation dari Maldives hanya mengumpul empat mata manakala wakil Myanmar, Ayeyawady United tercorot dalam kumpulan dengan tiga mata.

Pada pusingan kedua nanti, Kelantan akan menentang lawan daripada Kumpulan E yang terdiri daripada pasukan Semen Padang (Indonesia), Kichee (Hong Kong), Churchil Brothers (India) dan wakil Singapura, Warriors.

Pusingan suku akhir secara timbal balik akan berlangsung pada 17 dan 24 Sept, separuh akhir (1 dan 22 Okt) manakala perlawanan akhir pada 2 Nov ini.

StadiumAstro

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bkn hantaran dr petratos tp dr zairo anuar