Kelantan mengesahkan tempat ke pusingan kedua, Piala AFC selepas menewaskan wakil dari Vietnam, SHB Da Nang FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium San Chi Lang.
Pada babak pertama perlawanan, SHB Da Nang FC banyak mengasak kubu Kelantan dengan memaksa pertahanan mereka bekerja keras.
Pada 10 minit sebelum berhenti rehat, Da Nang hampir-hampir menjaringkan gol apabila keadaan kelam kabut berlaku di depan pintu gol Kelantan ketika penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.
Bersambung babak kedua, Da Nang menggandakan asakan dengan banyak menguasai permainan. Da Nang mempunyai peluang terbaik apabila memiliki sepakan percuma di luar kota panalti, namun tendangan pemainnya hanya menggegarkan palang gol.
Kelantan agak tenggelam. Sedar dengan perkara itu, Bojan Hodak memasukan Indra Indra Putra Mahayuddin menggantikan Rizal Fahmi Rosid bagi mempertajamkan serangan mereka.
Walaupun Da Nang banyak mengatur serangan sepanjang perlawanan, namun mereka dikejutkan dengan jaringan pelawat apabila penyerang import Dickson Nwakaemi muncul melakukan jaringan di minit ke-72 selepas menerima hantaran jauh daripada Dimi Petratos.
Da Nang dilihat agak tertekan apabila masa semakin suntuk untuk mereka menyamakan kedudukan. Asakan demi asakan dihalakan kepada kubu Kelantan, namun pertahanan Kelantan dilihat cukup ampuh mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi. Perlawanan berkesudahan Kelantan menang 1-0.