14 Jan 2013

‘Hodak hina ibu saya’

Kuala Terengganu: “Boleh hina saya tapi bukan ibu saya,” kata ketua jurulatih T-Team, Peter Butler yang berang dengan tindakan pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang didakwa menghamburkan kata kesat menghina mendiang ibunya ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Jurulatih Inggeris berusia 46 tahun yang juga pengurus pasukan Titans berkata, walaupun Hodak mengeluarkan kata-kata kesat itu dalam bahasa Croatia, beliau tahu maksudnya kerana dua penolong jurulatihnya berbangsa Croatia.

“Memang sudah lumrah bola sepak di mana pemain atau jurulatih hilang sabar dan mengucapkan perkataan yang tidak sepatutnya disebut namun mereka sepatutnya tahu yang semua itu ada batasnya.
“Beliau boleh berkata apa saja kepada saya dan saya boleh menerimanya namun tidak ada sesiapapun yang boleh menghina ibu sendiri ataupun ibu orang lain,” katanya.

Butler berkata, beliau berharap Hodak yang juga pengurus Kelantan datang memohon maaf selepas tamat perlawanan yang berkesudahan dengan T-Team menang 1-0 ke atas juara tiga piala musim lalu itu.

“Namun Hodak tidak menyesal dengan perbuatannya dan tidak pun memohon maaf kepada saya dan sekiranya tidak ada permohonan maaf daripadanya dalam masa terdekat ini, saya akan membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
PEMAIN T-Team, Muinuddin Mokhtar (kanan) diasak pemain Kelantan, Rizal Fahmi Rosid pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Kuala Terengganu, kelmarin.

“Apa yang dilakukannya lebih buruk daripada sikap perkauman yang ditegah sama sekali Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan saya tidak mahu beliau terlepas begitu saja,” katanya.

Menurut Butler, ibunya yang meninggal dunia hampir 20 tahun lalu selepas menderita akibat kanser selama tujuh minggu adalah seorang yang sangat istimewa buat dirinya.
“Luluh hati saya mendengar celaan terhadap ibu saya dan saya sanggup melakukan apa saja untuk menjaga nama baik mendiang.

“Mungkin kata kesat daripada Hodak itu datang daripada perasaan marahnya namun sebagai manusia, beliau perlu menyesal dan meminta maaf kepada saya,” katanya.

Butler berkata, beliau turut hilang sabar dan mahu saja menyerang Hodak namun mengaku masih boleh berfikir secara waras dan tidak sampai hati untuk turut menghina ibu jurulatih berbangsa Croatia berusia 42 tahun itu.

Sumber : Hmetro

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Keputusan terkini dan video Liga Super, Liga Premier dan Liga FAM 2013 di http://sepaktonjol.blogspot.com/