Kota Bharu: Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha
diminta memberi penjelasan berhubung bayaran menggunakan bank draf
berjumlah RM250,000 yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA), kelmarin.
Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata, Norshahrul atau Mat Yo
tidak menyatakan sama ada jumlah itu untuk bayaran perpindahan atau
pampasan tebus kontrak yang masih berbaki 13 bulan bersama Kelantan
sebelum berpindah ke Johor Darul Takzim.
“Kami ada menerima bank draf daripada Mat Yo berjumlah RM250,000, namun kami masih samar kerana dia tidak menyatakan bayaran itu untuk apa.
“Harus diingat, bayaran perpindahan dan pampasan tebus kontrak dua
perkara berbeza dan saya harap Mat Yo dapat menjelaskan perkara ini,”
katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bonus sempena kejayaan
menjulang Piala Malaysia tahun lalu dan merangkul tiga kejuaraan di
Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Lundang, di sini
semalam.
Dalam majlis itu, pemain dan pengurusan Kafa menerima habuan lebih RM500,000, tidak termasuk nilai ganjaran lot tanah kerana kejayaan musim lalu itu.
Sementara itu, Annuar tetap bertegas nilai pampasan tebus kontrak Mat Yo bukan berjumlah RM250,000 sebaliknya RM318,500 berdasarkan jumlah gaji dan elaun rumah selama 13 bulan baki kontrak. Katanya, mengambil contoh kes yang pernah dikendalikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pemain yang masih terikat kontrak dengan pasukan lama tapi berpindah ke pasukan baru, jumlah pampasan tebus kontrak berdasarkan kepada kedua-dua kontrak yang ditandatangani pemain.
“Jika hanya bayar RM250,000, untunglah kalau begitu. Kami juga boleh
ambil pemain yang ada kontrak bernilai berjuta-juta tapi bayar RM250,000
seperti ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan terus
bermain dengan pasukan baru. “Itu tidak betul dan tidak seharusnya
berlaku. Mustahil bagi seorang pemain yang dinobat ‘Pemain Paling
Bernilai’ tiga tahun berturut-turut hanya bernilai RM250,000.”
Menurutnya, Mat Yo juga belum mendapat sijil perpindahan daripada KAFA
dan sepatutnya tidak boleh beraksi bersama pasukan baru.
Sementara itu, mengulas mengenai bonus, Annuar berkata, bonus yang diberi atas inisiatif mereka, termasuk sumbangan kerajaan negeri yang menghadiahkan pakej menunaikan umrah.
“Pemain yang sudah berpindah ke pasukan lain boleh menghantar tawaran
untuk mengikuti rombongan menunaikan umrah dijangka pada 7 atau 20
Julai ini. Kepada pemain yang bukan beragama Islam pakej itu akan
ditukar kepada wang tunai.”
Sumber : Hmetro
2 ulasan:
teringin nak tengok reaksi FAM bila pemain yang belum dapat sijil perpindahan tapi turun beraksi
Tkpe itu undang undang dunia je......
Catat Ulasan