Venue perlawanan akhir Piala FA antara
Kelantan dan Sime Darby pada 19 Mei ini akan diputuskan oleh
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan minggu depan, kata Naib Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Katanya jawatankuasa itu, yang dipengerusikan oleh beliau, akan
mengadakan mesyuarat minggu depan bagi menentukan stadium serta harga
tiket perlawanan akhir Piala FA.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat pengurus pasukan pertandingan Piala Belia Bawah 19 Tahun
peringkat kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.
Pada separuh akhir kedua semalam, Sime Darby mara ke perlawanan akhir
dengan menumpaskan Terengganu dengan agregat 2-1 manakala Kelantan layak
atas peraturan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 menentang Kedah.
Mengenai Piala Belia 2012, Hamidin berkata sebanyak 14 pasukan akan
berentap bagi merebut piala tersebut bermula Khamis hingga 14 Mei.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan