15 Feb 2012

Peter Butler kecewa

Peter Butler tidak menafikan bahawa terdapat campur tangan pihak atasan dalam pemilihan pemain import Kelantan.

Selangor menewaskan Kelantan 2-1 dan seterusnya memusnahkan rekod tanpa kalah Kelantan pada musim ini.

"Saya kecewa kami tewas. Saya kecewa untuk pemain saya. Saya rasa pada 20 minit terakhir dan beberapa minit separuh masa pertama kami pasukan yang lebih baik.

"Kami mempunyai banyak peluang cuma kami tidak mengambil peluang sepenuhnya. Tahniah kepada pemain. Jaringan gol Selangor sedikit sebanyak telah mengubah permainan." kata Butler.


"Walaupun kami tewas 2-1 saya rasa kami bermain dengan lebih baik. Terdapat beberapa gangguan dalam pasukan dari segi kemasukan dan pengeluaran pemain. Jadi mungkin itu telah menganggu suasana dalam pasukan. Kami perlu duduk dan berbincang untuk perlawanan akan datang."

Sebelum perlawanan itu, ESPNSTAR.my telah mengeluarkan berita tentang khabar yang memberitahu bahawa Peter Butler akan meletakkan jawatan sebagai jurulatih Kelantan hujung bulan ini.

Ketika ditanya tentang perkara itu, Butler berkata: "Saya tidak mahu komen tentang perkara itu. Namun, saya harus duduk dan fikirkan sebaiknya tentang beberapa situasi.

"Dengan penuh bermaruah dan jujur saya harus lihat semula pendirian saya sebagai seorang manusia. Saya harus menanyakan beberapa soalan kepada diri saya tentang mengapa saya menerima tugas ini." jelas Butler.

Butler menambah: "Malangnya kadang-kadang anda tidak boleh melakukan tugas anda seperti mana yang anda mahukan dan saya datang semula ke Kelantan dengan pemain yang baik dan saya hanya berniat untuk memajukan kelab ini.

"Saya bukan di sini untuk mengkritik sesiapa. Jujurnya saya harus bertanyakan beberapa soalan kepada diri saya."
Sumber-sumber ESPNSTAR.my juga memberitahu bahawa Peter Butler tidak mempunyai hak dalam pemilihan pemain import. Butler akui pada awalnya dia memilih pemain import tetapi perkara telah berubah.

"Saya mempunyai peranan dalam pemilihan pemain import. Saya membawa masuk Okine, Antwi dan Gaddhar. Okine dan Antwi pemain yang muda dan tanpa ragu mereka mampu jadi lebih hebat di masa hadapan.

"Namun, Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kelantan FA) telah membuat keputusan untuk memikul tanggungjawab pemilihan pemain import dan saya harus hormati itu jika itu yang beliau mahukan. Beliau yang berkuasa dan membayar gaji kami." kata Butler.

"Tetapi ini kali pertama saya mengalami perkara seperti ini. Sebagai jurulatih saya harus bertanya kepada diri saya jika saya mahu bekerja seperti ini kerana pada akhirnya adalah lebih baik jika saya sebagai jurulatih dapat memilih pemain saya sendiri.

"Terdapat pemain import baru hari ini yang diturunkan pada separuh masa kedua, Nwoha. Dan saya tidak pernah melihat dia beraksi sebelum ini dan dari mana saya datang, itu bukan bola sepak yang profesional.

"Nwoha baru saja masuk dalam pasukan, cuma saya rasa adalah lebih baik jika saya diberi tahu terlebih dahulu tentang kemasukan mana-mana pemain baru."

sumber : Espnstar.my

Tiada ulasan: