1 Jan 2012

Red Warriors dapat yang terbaik - Annuar

Annuar Musa (tengah) bersama jurulatih dan pemain Kelantan pada Pelancaran Jersi 2012 pasukan itu dan penjualan tiket secara dalam talian di Dewan Utama Kelantan Trade Center (KTC), Kota Bharu, semalam

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada jurulatih, Peter Bulter dan barisan pemain untuk mencongak kejayaan Red Warriors untuk musim 2012.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya telah memberikan yang terbaik untuk pasukan, termasuk memilih jurulatih yang kaya dengan pengalaman bagi mengemudi Red Warriors.

"Pihak pengurusan telah memberikan segala-galanya kepada pasukan. Kita pilih jurulatih yang terbaik dan mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa. 

"Begitu juga dengan pemain import dan tempatan yang kita yakin mampu membentuk gandingan mantap untuk pasukan mengharungi cabaran musim 2012 ini.

"Pengurusan hanya boleh beri rempah ratus dan yang akan bertanggungjawab menentukan bagaimana untuk 'memasak makanan' tersebut adalah jurulatih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jersi Kelantan 2012 dan penjualan tiket secara dalam talian di Dewan Utama Kelantan Trade Center (KTC) di sini, semalam.

Tambah Annuar, pihaknya telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada jurulatih dan pemain dalam menentukan hala tuju TRW bagi mengharungi saingan musim hadapan bermula awal Januari ini.

"Kita telah tetapkan KPI kepada jurulatih. Dia (Bulter) tidak boleh capai kurang daripada apa yang telah dilakukan oleh jurulatih sebelum ini. 

"Tahun ini Kelantan juara Liga Super, jadi kita mahu pertahankan kejuaraan tersebut.
"Begitu juga dengan Piala FA, musim ini naib juara, 2012 kita mahu juara. Untuk Piala Malaysia kita mahu kembali beraksi dalam pentas akhir di Bukit Jalil. Sasaran ini perlu dipenuhi dalam tempoh dua tahun sepanjang beliau menjawat jawatan selaku jurulatih," ujarnya.

Annuar memberitahu, pihaknya menyediakan laporan mingguan untuk memantau persembahan pemain sama ada mereka mencapai KPI yang ditetapkan atau sebaliknya.

Katanya, mana-mana pemain TRW yang beraksi di bawah tahap sebenar akan diberikan notis dan surat amaran oleh jawatankuasa pasukan.

Justeru tambah beliau, semua pemain harus bekerja keras untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan.

Sumber : Utusan

Tiada ulasan: