KUALA LUMPUR - Ketika Kelantan lebih memikirkan bagaimana untuk berdepan Lions XII dalam Liga Super, Selasa ini, jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah dan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah tetap 'laparkan' satu-satunya gelaran yang belum pernah mereka menangi, Piala Sultan Ahmad Shah, malam ini.
"Memang saya teringin sangat piala ini namun anehnya format tahun ini, keputusannya tidak membawa apa-apa mata Liga Super. Sebagai pasukan yang belum pernah memenanginya, sudah tentu Negeri Sembilan datang dengan harapan besar dan sedaya upaya untuk membawanya pulang," kata Azraai.
Kata Norhafiz Zamani yang sudah bermain dengan beberapa pasukan lain seperti Pahang dan KL PLUS sebelum kembali ke pangkuan Si Rusa: "Saya tidak pernah menang lagi perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah dan tekad saya ialah meraih seberapa banyak gelaran lain yang dipertandingkan.
"Piala FA dan Piala Malaysia atau Liga Super sudah ada (dalam koleksi saya) tetapi seperti biasa setiap kali musim baru. Saya mahu mencapai peningkatan tetapi kami mahu cuba secara berperingkat-peringkat dan hadapi satu persatu perlawanan dengan matlamat mencapai keputusan yang membanggakan," katanya.
Azraai bagaimanapun menyedari kekurangan seorang pemain import Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini bakal memberikan kesan sekali gus satu kelebihan buat Kelantan yang memiliki Mohammed Ghaddar dan Denny Antwi masing-masing dari Lebanon dan Ghana.
"Kelantan membuat persiapan awal dengan tahun lalu menguji pemain import dan mereka memiliki 30 peratus tonggak senior musim lalu. Saya ramalkan mereka akan terus menjadi kuasa utama liga musim 2012," katanya, yang tetap tenang walaupun kehilangan ramai 'bintang' ke Angkatan Tentera Malaysia seperti Hairuddin Omar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak.
Negeri Sembilan dijangka mempertaruhkan gandingan bekas penyerang Harimau Muda, Ahmad Shakir Ali dengan pemain import dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona yang terbukti kian berbisa sepanjang beberapa perlawanan pra-musim di dalam dan luar negara sejak bulan lalu.
"Norhafiz Zamani akan menjadi ketua pasukan esok (malam ini) dan seperti 2011, setiap perlawanan kami akan menggilirkan ketua pasukan dalam liga. Gandingan pemain tempatan dan import menunjukkan banyak peningkatan dalam siri persahabatan. Mereka sudah menyesuaikan diri dan dapat bekerjasama.
"Namun musim ini saya tetap percayakan sumbangan pemain muda dan seperti mana saya terapkan ketika di Kedah dulu, mereka mampu bekerja keras, laparkan kejayaan, menunjukkan sikap ingin meningkat dan terus belajar," kata Azraai yang pernah meraih tiga gelaran Liga M serentak bagi dua musim berturut-turut dengan Sang Kenari.
Menjangkakan Kelantan turut mempunyai kekuatan lain dari segi kehadiran lebih ramai penyokong di Stadium Nasional, kata Norhafiz Zamani: "Apa yang perlu bagi kami ialah berikan kesungguhan, cuba ikut taktikal jurulatih dan bermain sebagai sepasukan.
"Tekanan penonton bukan masalah besar kerana ada pemain kami sudah bermain tiga perlawanan yang segenting ini. Tanpa ramai tonggak senior, memanglah terasa kehilangannya tetapi saya rasa ada pemain lain yang turut berbakat dan wajar diberikan peluang membuktikan kemampuan," katanya.
Sumber : Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan