Tarikh : October 30, 2011
Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan yang baru, Hashim Mustapha mengakui berhadapan tugas berat untuk mempertahankan mahkota kejuaraan yang dimenangi The Red Warriors pada saingan musim depan.
“Saya akui tugas berat sememangnya menanti saya sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Jurulatih yang baru. Saya meletakkan sasaran peribadi untuk membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir sekali lagi pada musim depan.
“Untuk mempertahankan kejuaraan bukan satu tugas mudah. Saya memulakan tugas dengan segera bagi membentuk pasukan mantap. Saya akan berbincang dengan pembantu saya, (Mohd Nafuzi Zain) bersama Penolong Pengurus Pasukan, (Mohd Yusri Ismail) mengenai persiapan yang akan kita lakukan untuk musim depan,” katanya.“Saya akui tugas berat sememangnya menanti saya sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Jurulatih yang baru. Saya meletakkan sasaran peribadi untuk membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir sekali lagi pada musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media baru-baru ini mengumumkan pelantikan Hashim sebagai Ketua Jurulatih baru menggantikan Zahasmi Ismail yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Jurulatih Liga Super Kelantan pada musim depan.
Malah Hashim, 45, juga difahamkan dihantar Kafa untuk menyertai kursus Lesen Kejurulatihan Kelas ‘A’ yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pertengahan November ini.
“Sebenarnya saya berhasrat melatih pasukan Piala Presiden Kelantan pada musim ini, namun B Sathianathan (bekas Ketua Jurulatih Liga Super Kelantan) tidak izinkan kerana beliau memerlukan khidmat saya sebelum ini.
“Jadi, ini peluang terbaik mencurahkan ilmu kepada pemain muda. Walaupun tidak pernah membimbing pasukan secara total sebelum ini, namun dengan pengalaman dimiliki menjadi Penolong Jurulatih skuad Piala Presiden pada 2008 dan bekerja di bawah tiga jurulatih Liga Super (Peter James Butler, B Sathianathan dan Datuk M Karathu) yang berbeza, insya-Allah saya mampu laksanakan,” katanya.
Hashim yang akan memulakan tugas secara rasminya 1 November ini turut mengingatkan barisan pemainnya mengekalkan disiplin tinggi sama ada ketika berada di luar atau dalam padang.
“Tidak ada kompromi mengenai perkara ini dan perkara pertama yang saya titik beratkan ialah soal disiplin. Tidak ada istilah pemain bintang dalam pasukan ini sekali pun mereka pernah menjalani latihan bersama skuad senior sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Hashim juga turut menjemput individu di bawah umur 21 tahun yang berminat menyertai skuad Piala Presiden Kelantan menghadiri sesi pemilihan terbuka pada jam tiga hingga enam petang bermula 1 hingga 3 November ini di Padang ‘C’ Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan