6 Jul 2011

Kelantan hampiri mahkota Liga Super

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan ini, hanya menerusi Astro Arena saluran 801.

KUALA LUMPUR, (D5) - Kelantan mempunyai misi yang sangat penting iaitu mahu mencipta sejarah menjuarai Liga Super buat kali pertama sejak ia diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Kelantan yang memiliki 53 mata, mendahului Selangor dua mata diikuti Terengganu (tiga mata) dianggap mempunyai peluang terbaik untuk merangkul gelaran itu selepas gagal melakukannya pada tahun lalu.

Pada aksi terakhir Liga Super menentang pasukan ditangga kesepuluh, Sabah di Stadium Likas, esok, Kelantan tidak seharusnya memandang ringan keupayaan pasukan lawan dan perlu menumpukan perhatian sepanjang 90 minit perlawanan.

Biarpun cukup dengan satu mata untuk mencipta kejayaan, The Red Warriors tidak seharus meletakkan risiko terhadap keputusan perlawanan melibatkan Selangor yang pastinya mempunyai misi yang sama.

Dengan kata lain, hanya kemenangan sahaja akan menjamin The Red Warriors untuk bergelar juara.

Ketua jurulatih Kelantan Datuk M. Karathu juga menyarankan perkara yang sama kepada anak buahnya agar bekerja keras dan bertarung habis-habisan kerana Sabah bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan apatah lagi bertarung di gelanggang sendiri yang banyak memberi kelebihan kepada pasukan itu.

Ramai pihak menjangkakan Kelantan tidak akan mempamerkan corak bertahan sebaliknya mengatur serangan sejak wisel ditiupkan dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi.

Karathu telah mengesahkan kesemua kesebelasan utama Kelantan termasuk Nur Shahrul Idlan Talaha, Shakir Shaari dan Khairul Fahmi Che Mat akan diturunkan pada perlawanan itu nanti.

Hanya Nurul Azuan Roya sahaja yang tidak dapat diturunkan kerana telah menerima dua kad kuning pada pertemuan lalu.

Bagi Sabah pula, pastinya mereka tidak akan mengendahkan siapa atau apakah misi pihak lawannya kerana mahu terus membuktikan kemampuan di hadapan penonton sendiri.

Apa yang lebih penting, mereka tidak mahu menggadaikan maruahnya hanya semata-mata untuk membenarkan misi penting pelawat tercapai.

Jangan lupa untuk menyaksikan aksi perlawanan ini menerusi saluran Astro Arena 801, esok jam 8:00.

Sumber : Astro Arena

Tiada ulasan: