KUALA TERENGGANU - Kelantan terus mengorak langkah besar untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali pertama selepas mengecewakan Terengganu 3-0 di gelanggang lawan pada ketika saingan hanya berbaki dua perlawanan.
Malah, kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin semalam memberi kelebihan psikologi buat skuad bimbingan Datuk M. Karathu menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Bukit Jalil, Sabtu ini.
Namun, Kelantan masih belum boleh menarik nafas lega kerana terus dihambat rapat oleh penyandang juara, Selangor yang membuktikan kesungguhan untuk mengejar pendahulu apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Shah Alam.
Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri, anak didik Irfan Bakti tidak mampu membendung asakan hebat pelawat yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
Ketiadaan Ashaari Samsudin yang digantung satu perlawanan juga menjejaskan corak permainan tuan rumah sehingga mengakibatkan dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan kehilangan punca pada babak pertama.
Pelawat pula sebaliknya bijak mengawal perlawanan dan memanfaatkan peluang terhidang apabila Mohd. Izuan membuka jaringan seawal minit ketujuh setelah berlaku kekalutan di depan gawang tuan rumah yang dikawal Mohd. Sharbinee Allawee.
Bermula separuh masa kedua, tuan rumah mula menampilkan aksi yang lebih kemas, namun masih gagal memecah kebuntuan untuk memperoleh sekurang-kurang gol penyamaan, sebaliknya Norshahrul Idlan bijak menyempurnakan peluang untuk gol kedua pelawat pada minit ke-72.
Norshahrul sekali lagi menjadi duri dalam daging Terengganu apabila menghukum kealpaan tuan rumah dengan gol ketiga pada masa kecederaan, sekali gus menghapuskan sisa perjuangan skuad Penyu.
Sementara itu, Selangor garang mendahului 5-0 pada babak pertama di Shah Alam dengan Mohd. Asrarudin Putra Omar mengetuai amukan skuad Merah Kuning apabila meledakkan empat gol, manakala Rudie Ramli, Fitri Syazwan Raduan dan Mohd. Amirul Hadi Zainal masing-masing menambah satu gol.
Azmizi Azmi tidak mampu melegakan kesengsaraan Perlis biarpun berjaya memperoleh gol saguhati pelawat pada minit ke-75. Selangor kini menghambat Kelantan dengan dua mata di belakang ketika saingan berbaki dua perlawanan. Kelantan mengumpul 50 mata selepas 24 perlawanan, diikuti Selangor 48, manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga dengan 47 mata.
Negeri Sembilan turut mengamuk di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi apabila membelasah T-Team 4-0, bagaimanapun perlawanan semalam dicemari dengan dua layangan kad merah, yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain.
S. Kunalan meletakkan tuan rumah di depan seawal minit pertama permainan, sebelum Firdaus Azizul menambah dua gol pada minit ke-22 dan 42, manakala Hairuddin Omar melengkapkan gol keempat pada minit ke-46.
Dalam satu lagi saingan, Kedah memintas Perak untuk menghuni tangga keempat liga dengan 41 mata selepas menundukkan Felda United 2-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada ketika Perak hanya mampu seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang untuk meletakkan pasukan itu di tangga kelima.
Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
sukan@utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan