SELEPAS Selangor, kini giliran Negeri Sembilan mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia hasil kejayaan menewaskan KL Plus 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Namun saingan bagi merebut satu lagi slot ke suku akhir bagi Kumpulan A kembali terbuka setelah Kelantan membelasah PKNS 4-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
Negeri Sembilan kini mengumpul 11 mata diikuti Kelantan (8) dan PKNS (6) manakala KL Plus sudah tersingkir dengan hanya dua mata.
Bagi saingan Kumpulan B, Terengganu kembali menghidupkan peluang ke suku akhir setelah membenam Sabah 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah manakala Pahang menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Cheras.
Pahang merampas tangga teratas dengan sembilan mata diikuti Sabah (8) dan Terengganu (7) manakala Kuala Lumpur tersingkir selepas hanya mengumpul empat mata.
Kumpulan C pula menyaksikan saingan kembali terbuka selepas Perak menewaskan Kedah 1-0 di Ipoh sementara Johor FC kekal di tangga teratas selepas menewaskan ATM 2-1 di Pasir Gudang.
Johor FC mendahului dengan sembilan mata diikuti Perak (7) dan Kedah (6) manakala ATM tersingkir dengan memungut tiga mata.
Sementara itu, Perlis mencerahkan peluang untuk mengiringi Selangor ke suku akhir setelah menewaskan T-Team 4-1 di Kangar manakala Selangor sah menjadi juara Kumpulan D dengan membenam Felda United 4-1 di Shah Alam.
Selangor yang mengumpul 15 mata maksimum tidak mampu dipintas lagi oleh Perlis (9) dan T-Team (6) manakala Felda United gagal memungut sebarang mata.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan bakal berlangsung Sabtu ini.
kosmo
1 ulasan:
x de beza siapa lwn kita masa suku akhir nanti.selangor or perlis.janji turun 100 peratus....kemenangan pasti milik kita....jgn pikir sgt siapa lwn kita nanti.fokos pd game.kita ada team terbaik.....selangor pun bkn nya kuat sgt......gomo kelate gomo
Catat Ulasan