26 Sep 2010

Khidmat Sathianathan masih ditagih


SATHIANATHAN (kanan) membimbing Kelantan sejak musim lalu.



TATKALA peminat fanatik Kelantan mendesak B. Sathianathan meletakkan jawatannya, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) pula secara terbuka menyatakan sokongan penuh kepada jurulatih berkenaan, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Presidennya, Marhasim Mat berkata, belum tiba masanya untuk Sathianathan melepaskan jawatan memandangkan saingan Piala Malaysia masih belum berakhir.

Jelas Marhasim, jika Sathianathan mengundur diri, pihaknya bimbang ia akan memburukkan lagi keadaan skuad The Red Warriors ketika saingan peringkat kumpulan masih berbaki tiga perlawanan.

"Apa yang saya khuatir ialah ia akan menimbulkan banyak masalah terutama dari segi taktikal dan corak permainan jika kita mengambil jurulatih baru.

"Keadaan makin suntuk, eloklah rasanya kita memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan kemampuanya dalam saingan Piala Malaysia kali ini," ujarnya.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan Sathianathan sedia melepaskan jawatan jika anak-anak buahnya gagal memberikan komitmen 100 peratus ketika menentang Negeri Sembilan, 3 Oktober depan.

Marhasim berkata, dia meminta penyokong Kelantan supaya terus berdiri teguh di belakang bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

"Lagipun Sathianathan sudah membuktikan kemampuannya pada saingan Liga Super, bagi saya inilah penampilan terbaik Kelantan sejak menyertai Liga Super pada musim lalu.

"Namun sekiranya beliau masih gagal melakukan perubahan atau memberikan sesuatu kepada pasukan, barulah kita berhak menyuruh beliau untuk meletakkan jawatan.

"Buat masa ini, biarlah beliau menjalankan tugasnya," katanya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

gomo sathia gomo ..kawe sokong demo

nik

Unknown berkata...

abe sathia..guano strategi 3hb ni...mesti wat balik 3 mato dr paroi.kawe caya demo boleh buat.demo ada team terbaik.jgn ada alasan lg..penyokong akan serbu paroi,jgn hampakan rakyat kelate.yg pegi nanti bwk misi wat balik 3 mato.adjust team ni molek.....jgn wei celaru suppo round petama.go sathia go...gomo kelate gomo