29 Ogo 2010

Kelantan intai kelibat Soley

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/08/29

Untuk bantu perkuat benteng pertahanan The Red Warriors

FINALIS musim lalu, Kelantan kini mengintai pemain pertahanan, K Soley untuk memperkuatkan The Red Warriors menjelang kempen Piala Malaysia yang bakal menyingkap tirai selepas Aidilfitri, 14 September depan.

Pertahanan itu yang pernah menjadi sebahagian skuad treble Kedah pada dua musim berturut-turut, 2006/07 dan 2007/08, berkelana ke Perlis dengan kontraknya tidak dilanjutkan oleh pasukan Singa Utara itu.

Kelantan memanfaatkan kesempatan dengan menandatangani pemain itu bagi musim depan, namun berharap dapat menggunakan khidmat pemain itu lebih awal.

“Kami sudah menandatangani pemain Perlis bulan lalu, K Soley yang akan beraksi dengan kami musim depan,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“Soley tidak dapat beraksi buat mana-mana pasukan bagi kempen Piala Malaysia kerana kontraknya bersama Perlis sudah tamat Julai lalu, jadi menjadi satu kerugian buatnya jika menghabiskan masa tanpa aksi sehingga musim depan.

“Ini adalah kes istimewa, jadi kami akan melihat segala aspek, termasuk mendapatkannya sebagai pemain pinjaman,” katanya.
Untuk berbuat demikian, KAFA perlu mendapatkan persetujuan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk melanjutkan kontrak Soley sehingga sekurang-kurangnya berakhir kempen Piala Malaysia dengan membiayai gaji bulanannya.

Selain Soley, tiada pemain yang dibawa masuk Kelantan bagi Piala Malaysia ini, sebaliknya menyerapkan enam pemain pelapis ke skuad utama.

“Sebaik pulang daripada menunaikan umrah kerana muncul naib juara Liga Super, pemain giat berlatih tiap-tiap malam dan diberi rehat dua hari ketika Aidilfitri sebelum berdepan juara bertahan, Negeri Sembilan,” katanya

Tiada ulasan: