KOTA BHARU - Tempoh rehat lima minggu ternyata tidak merencat rentak persembahan pasukan Kelantan apabila berjaya membenam cabaran Negeri Sembilan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhamad IV, kelmarin.
Begitupun, bagi jurulatih Kelantan, B. Sathianathan, tempoh rehat tanpa sebarang perlawanan kompetitif tampak memberikan sedikit kesan kepada corak persembahan anak-anak buahnya pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, para pemain mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan sehingga memberikan ruang buat pasukan pelawat untuk melancarkan serangan bertali arus pada 20 minit pertama.
"Separuh masa kedua barulah kita menemui sentuhan yang dicari. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan corak persembahan mereka.
"Para pemain tidak mudah berputus asa dan sentiasa fokus sehingga kita memperoleh jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-74," katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebelum berkunjung ke Shah Alam, Sabtu ini untuk bertemu pendahulu Liga Super, Selangor.
Menurut Sathianathan, pemain Kelantan telah memberikan komitmen 100 peratus dan mereka berhak untuk keluar sebagai pemenang mutlak dalam perlawanan tersebut.
"Semua pemain memainkan pemain penting termasuk pemain penyerang Akmal Rizal yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan itu.
"Mereka (pemain) berupaya kembali mengimbangi rentak permainan biarpun pada suatu ketika pasukan pelawat dilihat lebih mendominasi permainan," katanya.
Dalam pada itu, Sathianathan turut membayangkan The Red Warriors bakal kehilangan khidmat penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pada pertemuan menentang Selangor hujung minggu ini kerana mengalami kecederaan serius.
"Norshahrul (Idlan Talaha) mengalami kecederaan serius pada lutut kirinya. Saya perlu merujuk kepada pegawai perubatan pasukan bagi mengetahui perkembangan terkini beliau.
"Beliau mungkin direhatkan pada perlawanan tersebut (menentang Selangor) sekiranya kecederaan beliau tidak sempat sembuh sebelum Sabtu ini," ujarnya.
Pada perlawanan itu, penyerang gantian Akmal Rizal muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.
Kemenangan itu membolehkan Kelantan terus memberi tekanan buat pendahulu Liga Super Selangor yang hanya dibezakan dengan lima mata. Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan