KUALA LUMPUR - Hasrat Selangor untuk kembali menjarakkan diri dari Kelantan dalam saingan Liga Super tidak kesampaian apabila diikat pasukan pantai timur itu 1-1 di gelanggang sendiri, semalam.
Bagaimanapun, Selangor memberi bayangan awal mereka mampu melakukan sesuatu dalam perlawanan penting itu apabila memperoleh jaringan pendahuluan hasil rembatan voli kencang Amirulhadi Zainal pada minit ke-59.
Tersentak dengan jaringan tersebut Kelantan berusaha keras untuk mencari gol penyamaan dan mereka memperolehinya pada minit ke-64 selepas Indra Putra Mahayuddin menanduk masuk hantaran silang Nor Farhan Muhammad dari sebelah kanan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor mengumpul 54 mata manakala Kelantan mengekori di tempat kedua kurang lima mata.
Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pasukan pelawat, Perak berjaya mengikat T-Team 1-1 selepas mendahului pada minit ke-30 melalui jaringan Isma Alif Mohd. Salim dan Abdul Hadi Yahya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64.
Di Stadium Bola Sepak Kula Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur berkongsi mata dengan Perlis selepas mencatat keputusan seri 1-1.
Azwan Abdul Malek membuka jaringan pada minit ke-35 sebelum pemain Singa Utara, Ahmad Aminuddin Shaharuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-74.
Keputusan lain menyaksikan Negeri Sembilan menang tipis 2-1 ke atas Kedah manakala KL Plus menewaskan Johor 4-0.
Pahang dibelasah Terengganu 5-0 dan Johor FC mengalahkan Pulau Pinang juga dengan jaringan 5-0.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan