8 Jun 2010

KAFA Tiada Pilihan Lain Kecuali Nekad......!!

Artikel asal  dari web TRWC 

Terperanjat dan sedih memikirkan nasib yang bakal menimpa KAFA yang tiada pilihan lain kecuali memilih untuk beraksi di luar negeri Kelantan bagi 3 baki perlawanan daripada baki 6 perlawanan. 

Pendedahan ini ingin mengajak para pembaca memahami secara rasional keluar dari skop politik dan bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak sekadar meluahkan keputusan yang mungkin akan diambil KAFA, setelah surat rayuan kedua berkenaan caj duti hiburan ditolak kerajaan negeri dan permohonan untuk membina stadium baru masih dalam pertimbangan kerajaan pusat, maka pihak pengurusan terpaksa nekad untuk memilih stadium baru yang sesuai untuk Kelantan beraksi sehingga penghujung TM Liga Super, Piala Malaysia dan musim depan.

Mungkin tanggapan sesetengah masyarakat, KAFA ingin membangkit kembali kisah yang telah selesai seperti pendedahan sebelum ini yang telah diselesaikan. 

Kami ingin menerangkan secara terperinci berkaitan isu ini, duti hiburan yang dilupuskan kerajaan negeri hanya melibatkan duti hiburan lama dan ianya tidak melibatkan duti hiburan untuk tahun ini atau sebelumnya. 

Berkenaan duti hiburan ini juga sepatutnya perkara ini boleh diiktiraf dalam "Malaysia Book Of Record" sebagai pasukan bola sepak pertama dikenakan duti hiburan di Malaysia. 

Selain KAFA terpaksa menanggung Levi stadium yang paling tinggi di Malaysia berbanding stadium Nasional Bukit Jalil dan juga harga tiket di Kelantan adalah yang paling mahal. KAFA amat terharu melihat inisiatif kerajaan Kedah dan Selangor dalam menyokong kemajuan bola sepak di negeri masing-masing. 

Untuk renungan bersama kita perlu melihat bagaimana kerajaan Selangor boleh tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penggunaan stadium Shah Alam kepada pasukan negeri mereka selain memberi tajaan penuh kepada pasukannya melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mungkin ianya berbeza dengan pasukan Kedah yang diuruskan sendiri oleh menteri besarnya.

Inisiatif seperti kerajaan Selangor ini amat diperlukan KAFA bagi terus membangunkan bidang bola sepak Kelantan sebelum ianya menjadi satu industri baru yang dapat menjana pendapatan sendiri. Penstrukturan dan kemajuan yang cuba ditiru oleh KAFA melalui idea bisnes kelab bola sepak eropah masih diperingkat baru dan ianya masih belum menjana keuntungan yang mampu membina sebuah pengurusan yang mantap.

Usaha KAFA ibarat usaha seorang kanak-kanak yang baru belajar berjalan dan cuba berjalan tanpa dipimpin oleh kedua ibu bapanya. 

Adakah kita perlu melihat kanak-kanak ini jatuh atau perlu dibantu? Tepuk dada tanya Iman. Perlu diingatkan luahan ini bukan satu luahan KAFA untuk mengelakkan diri daripada dikenakan cukai tetapi luahan untuk memberitahu kepada seluruh masyarakat Kelantan bahawa KAFA masih diperingkat membina tapak dan tapak yang dibina masih lagi tidak kukuh untuk menampung bebanan berat yang diberikan ini kecuali KAFA tekad dengan keputusan yang dirancang.

Alhamdullilah KAFA amat berterima kasih kepada syarikat yang menaja dan membantu KAFA dalam meningkatkan mutu bola sepak Kelantan seperti AL HAMRA, UMBRO, YUSMIRA, AIR ASIA, SINAR HARIAN dan termasuk pihak yang mengendalikan portal rasmi KAFA Theredwarriors.com, The Red Warriors Station dan The Red Warriors Radio kerana membantu KAFA tanpa melibatkan kos kewangan KAFA. 

Tajaan kewangan daripada syarikat ini adalah tajaan untuk semusim TM liga Super bukannya tajaan harian mahupun bulanan seperti yang diwar-warkan. Mengenai barangan keluaran KAFA adalah antara usaha KAFA sendiri untuk menjana pendapatan bagi menampung bebanan kewangan, namun ianya sekadar dapat menanggung kos utiliti dan sedikit pengurusan KAFA sahaja. 

Diharap penjelasan ini dapat membuka mata kepada semua pihak supaya tidak mengganggap KAFA sekarang kaya sakan dengan stadium yang dipenuhi penyokong, jualan produk dan sebagainya. Tidak terdetik dihati pihak pengurusan untuk bermusuhan dengan mana-mana pihak mengenai isu ini cuma ingin semua penyokong di Kelantan akur dan redha dengan keputusan yang terpaksa diputuskan oleh Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa tanpa prejudis mahupun syakwasangka.

Harapan dan impian presiden KAFA hanya ingin melihat pasukan Kelantan terus maju dan dikagumi dari segala sudut yang dirancang dan telah dibuktikan sebelum ini. Mungkin harapan untuk memiliki stadium sendiri masih ada tetapi daripada terus berharap, adalah baik sekiranya pihak KAFA membuat keputusan yang terbaik walaupun ianya akan mengecewakan peminat di Kelantan. 

Sejak isu ini dihebohkan oleh pihak media bulan lalu, KAFA banyak menerima panggilan dari pihak pengurusan stadium di luar Kelantan menawarkan kadar sewa yang berpatutan tanpa mengenakan caj levi seperti dikenakan pengurusan stadium Kelantan.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya ada stadium menawarkan kadar sewanya hanya sekitar RM8000-12000 setiap satu perlawanan dan sekiranya kutipan tiket mencecah 10 000 keping tiket, ianya menyamai atau lebih menguntungkan sekiranya dibandingkan dengan kos yang ditanggung di stadium sendiri. 

Malah kualiti stadium ini lebih terurus jika hendak dibandingkan dengan stadium sekarang yang mana pihak KAFA banyak menerima aduan seperti tandas rosak, kawalan penjualan tiket yang tidak diuruskan dengan baik sehingga masih wujud ulat-ulat tiket, lampu limpah yang tidak berfungsi dengan baik dan sebagainya.

Pelik tapi benar apabila tiket yang mahal, kadar levi yang tinggi, duti hiburan dan caj tambahan tidak dapat menjamin mutu kemudahan dan kualiti stadium yang baik dan terurus kepada semua penyokong. 

Sekiranya pilihan stadium luar diterima sebulat suara, dengan nada berani presiden KAFA sanggup meletakkan harga tiket sekitar RM8-10 sahaja dan membantu pihak media rasmi KAFA untuk berfungsi dengan baik dalam memberikan liputan perlawanan secara langsung kepada penyokong di Kelantan.

Mungkin ianya akan menjadi janggal sebuah pasukan negeri beraksi diluar negeri sendiri, namun sekiranya inilah hakikatnya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan demi bola sepak Kelantan yang tidak mengenal ideologi politik ini  KAFA akan meneruskan kecemerlangannya di negeri lain.

Dengan tulus hati kami menyeru semua pihak akur dan redha dengan keputusan yang terpaksa KAFA akan lakukan demi meneruskan kecemerlangan pasukan kesayangan kita beraksi dengan tenang dan baik tanpa gangguan masalah gaji, KWSP, bonus dan sebagainya. 

Biarlah episod malang dan tidak diberi pertimbangan ini ditanggung dengan penuh semangat keyakinan kami demi melihat sebuah pasukan juara dan mampu bergantung dengan inisiatif sendiri pada satu masa nanti.

Salam Hormat dan Kasih Sayang;

Yang benar
KAFA

Sokong bia bijok , dipandang bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo


Info:

***Contoh: Cara mudah memahami kesusahan KAFA ialah sekiranya kutipan tiket RM12 untuk 15 ribu penonton jumlah yang diperolehi RM180 000. Bebanan yang ditanggung ialah
  • 10% cukai FAM
  • 5% duti hiburan Kelantan bagi setiap 1 tiket
  • Levi stadium
  • Lain-lain caj
***baki yang ada digunakan sepenuhnya untuk KAFA menanggung bebanan hutang yang ditinggalkan pengurusan sebelum ini, kos operasi & pengurusan+gaji+KWSP+Bonus+perjalanan+lain-lain untuk pemain dan staf terkini. pembelanjaan pembangunan bola sepak di semua peringkat piala, daerah dan sebagainya.
Kami memohon maaf kerana tidak dapat menjelaskannya secara terperinci kerana melibatkan rahsia organisasi.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sokong tindakan...sbb sewa stadium tidak setimpal dengan kemudahan yang diberikan

Tanpa Nama berkata...

nak main luar kelantan.. tukar nama team la.. jangan guna nama team Kelantan lagi.. guna nama team AnuarMusa FC. Tiket mahal doh, Kafe pun ada.. setiap kali game ramai penyokong yang pergi tengok.

Ini gara2 nak untung lagi besar la ni

Tanpa Nama berkata...

KAFA XDE WANG SEBAB CAJ STADIUM??
TAPI MANA DAPAT WANG UNTUK BELI DAN GAJI PEMAIN-PEMAIN TERNAMA? DENGAR2 SEKARANG KAFA SDG MINTA FAM BAGI KEBENARAN UNTUK PEMAIN IMPORT PULA.

TOLONG JELASKAN.... JIKA TIDAK RAMAI ORANG LEBIH KELIRU.

Tanpa Nama berkata...

tiket mahal pn xpo laa.. stiap kali game puah hati..
KAFA xdop la sesok sapa dop leh nk beli player.. kalu gtu, dop rok nk gerak doh boh.. tp bndg la ngan negeri lain.. pakat tlg la.. dulu time stadium xdop ore.. kerajaan negeri dop caro gapo pn.. biar jah.. pah penuh loni.. caj slalu.. cukai mendo lain ad doh kn.. dop sir tlg guno duet bola klate pn.. jgn la nk ambik duet plok.. jeng..

Tanpa Nama berkata...

jange nipu, doso. KAFA takdok pitih sungguh mugo jualan merchandise, kafe, kerpok bukenyo masuk ko KAFA tapi masuk ko ... , kafe jua go maha, hanya beberapo kerat jah hok mampu makan minum situ. lambat pulok tu

Tanpa Nama berkata...

xsoh duk wat fitnah gak blako.. patut kito kene la jaso nuar muso tuh.. dio ambik time klate duk bawoh lg.. dio xperlu amik duit klate sbb bisnes dio pn blmbok doh kt kl nuh... demo xtau xsoh duk kecek la.. ambo takut dio fedup jah nga puok kito.. nk tgk klate masuk liga fam pulok ko...

Tanpa Nama berkata...

dio manage klate sebab minat bola... dulu klate xdok gapo.. loni tgk.. tp mmg pelek pn... stadium xdok kualiti.. nk masuk lmbt.. tndas punoh..lmpu staium pn malap.. doh terang depe mato kito tuh.. nk dalih gapo lg nyo.. bendo betul.. hok kecek dale ni rajin g stadium ko.. ambo ore kb ambo tau la..