KOTA BHARU - Kehilangan tonggak pertahanan, Mohd. Daudsu Jamaludin yang digantung satu perlawanan, tidak merencatkan persediaan Kelantan untuk melayani kunjungan Pahang pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super di Kota Bharu esok.
Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan menegaskan pasukannya tiada masalah mencari pengganti bekas pemain kebangsaan itu.
Katanya, barisan pemain simpanan yang dimiliki pasukannya mampu menampung kekosongan Daudsu.
"Saya ramai pemain yang boleh digunakan dan mereka semua cergas serta bebas dari sebarang kecederaan.
"Tempat Daudsu akan diisi oleh seorang lagi pertahanan kental iaitu Mohd. Farisham Ismail. Saya percaya dia (Farisham) mampu menggalas tugas tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelantan, yang kini menghuni tangga ketiga dalam liga dengan 25 mata daripada 12 perlawanan, perlu meneruskan rentak kemenangan untuk mencabar Selangor di tangga teratas, dibezakan dengan empat mata.
Sathianathan berkata, pengalaman yang dimiliki oleh Farisham sememangnya ditagih untuk mengekang asakan penyerang Pahang, seterusnya memastikan Kelantan memberikan tekanan ke atas Selangor.
Diminta mengulas mengenai pertemuan menentang Pahang, Sathianathan menghormati kemampuan pasukan lawan.
"Pahang bukan calang-calang pasukan, berdasarkan rekod liga musim ini mereka pernah menewaskan pasukan kuat.
"Kita tidak akan mengambil mudah pertemuan ini dan saya harap pemain dapat berikan fokus yang terbaik dalam usaha memburu kejuaraan musim ini," katanya.
Tambahnya, Kelantan berada pada landasan terbaik apabila gandingan pemain yang dibentuk mula menampakkan keserasian.
"Inilah yang kita mahukan, sebab itulah saya minta penyokong bersabar dan berikan sedikit masa kepada pemain untuk mendapatkan lagi keserasian," ujarnya. -Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan