11 Mei 2010

Sathia optimis catat kemenangan

 
KOTA BHARU –Tunjukkan semangat perjuangan yang tinggi. Begitulah pesanan ringkas pengendali Kelantan, B Sathianathan kepada para pemain Kelantan menjelang pertemuan Liga Super menentang Johor, di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Sathianathan berkata, semangat juang yang tinggi sebagaimana yang ditunjukkan sewaktu perlawanan dengan Pahang harus dikekalkan oleh pemain Kelantan.

“Saya harap semangat itu bukan bermula apabila kita ketinggalan dua gol seperti mana perlawanan dengan Pahang tempoh hari, tetapi ia harus bermula sebaik perlawanan dimulakan,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Bagi Sathianathan, pujian tersebut harus diberikan kepada pemain Kelantan yang kembali bangkit menjaringkan gol biarpun pada suatu ketika ketinggalan dua gol kepada pasukan tuan rumah.

“Apa yang penting pada perlawanan malam ini, pemain harus mengamalkan disiplin yang tinggi di samping mengurangkan kesilapan di atas padang.

“Dalam bola sepak, pasukan yang meminimumkan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang layak muncul sebagai pemenang,” katanya.

Sathianathan berkata, beliau tetap tidak memandang rendah pertemuan dengan pasukan dari selatan tanah air ini.

“Anda boleh lihat kejutan yang berlaku apabila, pasukan Johor mampu mengecewakan Singa Utara dengan mencatatkan kemenangan tipis 3-2 pada pertemuan tempoh hari.

“Pemain mereka pastinya bertambah yakin untuk mencatatkan kemenangan lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan Kelantan.

“Tentunya Johor tidak mahu ketinggalan untuk mencatat kemenangan pada perlawanan ini,” katanya.

Pada perlawanan pusi-ngan pertama Liga Super di Kota Bharu, Kelantan berjaya menewaskan Johor 3-0 hasil jaringan Akmal Rizal Rakhli, Muhd Badhri Radzi dan ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin.

Tetapi itu cerita lama sewaktu pasukan Jengking di bawah bimbingan Abdul Nasir Yusoff. Prestasi merosot pasukan Johor memaksa Abdul Nasir Yusoff digantikan Edress Selamat selaku pengendali baru.

Walaupun prestasi mereka sedikit tenggelam, tetapi kejayaan Johor menewaskan Perlis 3-2 di Larkin tempoh hari membuka mata banyak pihak, termasuk Kelantan bahawa pasukan yang dibarisi oleh hampir sebahagian pemain muda musim ini tidak harus dipandang rendah.

Prestasi Johor pada awal musim yang begitu kelam dengan kekalahan demi kekalahan, memaksa Abdul Nasir Yusoff mengundur diri rentetan gagal mencapai prestasi seperti yang dikehendaki oleh Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ).

Membawa masuk beberapa pemain luar seperti Hishamuddin Othman (Kuala Lumpur), K Puvinderan Naidu (Pulau Pinang) dan Rezuan Muhammad Radzy (Sabah) dilihat langkah awal PBNJ untuk mengimbangi kekuatan pasukan pada musim ini setelah penghijrahan beramai-ramai pemain utama mereka musim lalu ke kelab Johor FC.

Sementara itu, Sathianathan turut membayangkan akan berlaku sedikit rombakan terhadap pasukan Kelantan menjelang perlawanan malam ini.

“Ya, akan berlaku sedikit rombakan melibatkan beberapa pemain. Pemain pertahanan, S Subramaniam hampir pasti kembali ke dalam kesebelasan utama pemain setelah sembuh daripada demam.

“Posisi penjaga gol, saya masih belum fikirkan lagi sama ada menurunkan Syed Adney (Syed Hussien) atau Khairul Fahmi (Che Mat). Khairul Fahmi sudah pun pulih daripada demam.

“Syed Adney walaupun melepaskan tiga gol di Kuantan tetapi beliau tetap menunjukkan persembahan yang baik. Bukan kesilapan dia apabila melepaskan tiga gol itu.

“Apa pun, kita tunggu pada hari perlawanan (hari ini) siapakah yang akan diberi tugas sebagai penjaga gawang Kelantan,” katanya.

Bagi Sathianathan, beliau tetap optimis Kelantan mampu bangkit mencatatkan kemenangan di Larkin dengan syarat pemain mengikut segala arahan serta memberi sepenuh perhatian sepanjang aksi 90 minit itu.

“Apa yang penting, kita mengutip tiga mata di Larkin. Soal kita menang berapa gol itu tidak penting. Yang penting tiga mata bagi terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor, “ katanya. 

Sumber:Sinar Harian

2 ulasan:

Akif Mazlan berkata...

GOMO KELATE GOMO!!

Tanpa Nama berkata...

kelate 4,johor 0