14 Mac 2010

Kelantan puas ikat Selangor



PENYERANG Kelantan, Nor Shahrul Talaha (kanan) terlepas beberapa peluang untuk merobek gawang Selangor pada aksi Liga Super malam kelmarin.


KELANTAN puas selepas berjaya mengikat Selangor di laman sendiri dengan keputusan seri tanpa jaringan walaupun hampir mengejutkan Gergasi Merah dengan beberapa cubaan berbahaya.
Tanpa berselindung, pengendali Kelantan, B. Sathianathan menghamburkan kata-kata pujian terhadap anak-anak buahnya yang memberikan komitmen yang tinggi pada perlawanan malam kelmarin.
Menurutnya, beliau puas melihat aksi pemain-pemain Kelantan yang disifatkannya menguasai hampir 90 peratus permainan selain berjaya menghasilkan gerak-gerak menarik.
“Main sudah bagus cuma saya sedikit kecewa apabila jentera serangan masih belum menemui sentuhan gol walaupun banyak peluang yang terhidang.
“Kita mempunyai sekurang-kurang 15 peluang yang mampu menghasilkan gol tetapi nyata kita masih memerlukan latihan yang lebih gigih untuk berjaya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, sebagai jurulatih, beliau sudah memberikan segala-segalanya yang terbaik untuk pasukan tetapi dalam permainan bola sepak, pemain yang menentukan kejayaan pasukan.
Jelasnya, beliau mengharapkan perlawanan menentang Selangor malam kelmarin menjadi titik tolak kepada kebangkitan Kelantan dalam mengharungi siri perlawanan yang akan datang.

1 ulasan:

Wan Ssei berkata...

MAen sdak doh tp ja nyudoh takdop...guano kiro bna....haizzz....arap2 Kelate taon ni sedak loa pado taon lpas...final maen po taik...