
KOTA BHARU- Skuad Red Warriors yang baru menamatkan perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand baru- baru kini dalam keadaan bersedia untuk memulakan saingan Liga Super yang bermula Sabtu ini.
Jurulatihnya, B Sathia-natan berkata, kesemua 25 pemainnya berada dalam keadaan prestasi yang cukup memuaskan walaupun berhadapan dengan beberapa tonggak yang mengalami kecederaan.
“Semua persiapan untuk menentang Terengganu Sabtu ini berjalan lancar khususnya selepas balik dari Bangkok. Kita mempunyai cukup masa untuk membuat persiapan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri kursus motivasi bersama pemainnya di ibu pejabat Kafa di sini semalam.
Hadir memberi sesi kaunseling tersebut, Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara, Zaiton Othman.
Musim ini, Kelantan melakukan rombakan di beberapa posisi dengan membawa masuk bererapa pemain ternama, antaranya Syed Adney Syed Hussien (My-Team), Norshahrul Idlan Talaha (My-Team), Shakir Shaari (My-Team), S. Chanturu (P.Pinang),S. Subramaniam (Perak), Akmal Rizal Rakhli (KM Naza), Azizi Che Ros(Perlis) dan Hairuddin Omar (T- Team).
Sathianathan berkata, pemain yang berada dalam senarai kecederaan termasuk Nor Farhan, S. Chanturu dan Zamri Ramli, namun beliau tidak gusar memandangkan skuadnya memiliki ramai pemain yang boleh dimasukkan dalam perlawanan nanti.
Dalam pada itu, Sathianatan mengakui beliau kini sudah memiliki skuad bayangan untuk bertemu dengan Terengganu namun ia bukanlah apa yang dipanggil kesebelasan utama.
“Bagi perlawanan pertama, kita sudah membayangkan pemainnya, tetapi saingan Liga Super bukan satu perlawanan sahaja, musim ini kita mahu mendapatkan tiga piala, kita gunakan perkhidmatan semua pemain.
“Untuk mencapai tahap yang tinggi, kita tidak boleh bergantung kepada 11 pemain sahaja, sama juga sistem yang digunakan di Eropah, kita kena bergantung kepada 25 pemain yang ada dalam skuad, mungkin kita akan tukar pemain-pemain di setiap perlawanan,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran untuk mengapai tiga piala musim ini, Sathianathan percaya pemainnya tidak berada dalam situasi tertekan meskipun pihak pengurusan menetapkan sasaran yang tinggi terhadap pasukan tersebut.
“Dalam bola sepak, kita mulakan dengan sasaran dan kita perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan, tiada guna kita masuk padang dengan tidak ada sasaran untuk menang,” katanya-Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan