30 Jan 2010

Kelantan mahu bangkit

KOTA BHARU – Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengharapkan pasukannya mampu mencatat kemenangan ke atas Pulau Pinang, hari ini selepas seri dengan pasukan ketiga tercorot, Perak pada perlawanan Liga Super, di Ipoh Selasa lalu.

Perlawanan menentang Pulau Pinang, Red Warriors perlu menumpul mata penuh bagi memastikan pendakian memburu kejuaraan tidak terbantut. Pertemuan hari ini juga, bakal dijadikan titik tolak kebangkitan semula pasukan itu, selepas hanya mengumpulkan sembilan mata daripada lima perlawanan.

Hanya kemenangan dapat membuktikan skuad tersebut telah bebas daripada masalah dalaman seperti yang dilaporkan bahawa wujud komplot untuk menjatuhkan beliau.

Pertembungan antara skuad Kijang dengan ‘Harimau Kumbang’ di laman sendiri pasti dinanti dengan penuh minat oleh penyokong setia. Menang dengan jaringan yang cukup besar di laman sendiri, pasti ditagih oleh peminat setia selepas dihampakan oleh aksi kurang menyakinkan di Perak, tempoh hari.

Tugas berat dipikul oleh semua para pemain, apabila menyedari bahawa penyokong setia Merah Putih hanya mengharapkan kemenangan pada pertemuan hari ini. Berdasarkan rekod pertemuan Liga Super yang lepas, juga perlawanan Piala Malaysia, menentang Pulau Pinang, semuanya memihak kepada Kelantan. Tampil dengan barisan bintang, percaturan di atas kertas juga dilihat lebih memihak kepada kelantan. Namun, harus diingat memandang rendah kemampuan lawan pasti mengundang padah.

Kelantan pastinya akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk merobek gawang pasukan lawan. Gandingan Hairuddin Omar dan Nor Shahrul Idlan Talhah, pasti sekali lagi menjadi pertaruhan Sathianathan. Selepas dikritik hebat oleh peminat, gandingan Hairuddin-Nor Shahrul perlu membuktikan bahawa mereka mampu lakukan yang terbaik. Andainya gandingan ini masih lagi gagal membuktikan sentuhan penyudah yang ampuh, tidak salah rasanya mencuba gandingan Nor Farhan dan Nor Shahrul.

Di posisi tengah, Kelantan dilihat tidak mempunyai sebarang masalah. Gandingan Indra Putra Mahayuddin, Shakir Shaari dan Badri Radzi sudah pun menampakkan keserasian. Kombinasi ini dilihat mampu menggerakan posisi tengah Kelantan yang dikatakan tenggelam ketika bertemu Perak, terutama di separuh masa pertama.

Di posisi yang tidak perlu dipertikaikan ialah pertahanan, Azizi Mat Rose berjaya membentuk gandingan yang mantap bersama S.Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin dan zairul Feetri Ishak.

Ini bermakna, Sathianathan tiada alasan untuk mencatat satu lagi keputusan seri, apatah di depan peminat sendiri hari ini.-utusan

Tiada ulasan: