16 Nov 2009

Kelantan ambil pemain baru


KOTA BHARU - Walaupun dikenakan denda RM50,000 baru-baru ini, namun semangat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) untuk memantapkan pasukan Red Warrior’s tidak pernah luntur, malah mereka akan memperkenalkan pemain baru untuk memastikan keme-nangan pada perlawanan akan datang.

Menurut sumber Kafa, beberapa pemain baru akan diambil bagi menggantikan kelemahan yang terdapat dalam pasukan Kijang untuk bermain pada musim akan datang.

“Kita telah melihat tahap pemain setakat ini dan sudah mengenal pasti bahagian penyerang dan tengah (midfield) perlu ada perubahan dengan pemain baru yang berkebolehan.

“Semua kontrak pemain baru telah dibuat dan ada beberapa pemain lama terpaksa disingkirkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa Md Noor Yaacob berkata, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa akan mengumumkan pemain-pemain baru itu dalam satu sidang media pada 17 November ini.

Manakala, katanya, pemain-pemain baru akan diperkenalkan di KB Mall pada 21 November ini untuk rakyat Kelantan.

“Penekanan diberikan kepada pemain anak negeri. Bagaimanapun kita boleh mengambil pemain daripada luar dan jumlahnya tidak ramai,” katanya.

Md Noor berkata, prestasi pasukan Kijang kini sedang meningkat cemerlang setelah pasukan itu berjaya menduduki tempat kedua dalam Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan Sabtu lalu dan kali terakhir menduduki tempat kedua ialah bila pasukan itu tewas dengan Perak pada 1970.

Namun katanya, di sebalik kecemerlangan itu, Kafa menghadapi pelbagai tekanan termasuk pasukan itu dikenakan denda oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebanyak RM50,000 gara-gara tindakan liar penyokong negeri ini pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. -sinar harian

1 ulasan:

yushida03 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.