19 Okt 2009

KL Plus mahu sekat Kelantan


BARISAN pemain KL Plus berazam sekat kemaraan Kelantan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Cheras malam esok.

WALAUPUN dilabel pasukan underdog, KL Plus tetap mengharapkan kemenangan apabila turun menentang Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Pengurus pasukan, Husni Mohd. Yusof berkata, mereka akan memberi tentangan sebaik mungkin kepada Kelantan yang juga merupakan naib juara Piala FA musim ini.

"Kita percaya kemenangan dapat dicapai dengan adanya semangat berpasukan yang tinggi daripada pihak pengurusan, jurulatih dan pemain seperti yang ditunjukkan sebelum ini," katanya.

Husni berkata, pasukan yang dibimbing jurulatih Mat Zan Mat Aris itu perlu mencari jumlah jaringan yang selesa bagi memastikan mereka berada dalam kedudukan selamat apabila berkunjung ke tempat lawan Sabtu ini bagi perlawanan pusingan kedua.

"Penjaring terbanyak Liga Perdana, Mohd. Harris Safwan Kamal yang dipinjam daripada T-Team juga telah mempamerkan sentuhan pemusnahnya dengan meledak dua jaringan ketika menentang Melaka (perlawanan terakhir peringkat kumpulan).

"Jadi saya harapkan sentuhannya itu akan berterusan selain konsistensi seorang lagi penyerang, Mohd. Fadzli Saari yang telah meledak lima gol setakat ini, termasuk hatrik ketika menentang Pahang pada 6 Oktober lepas," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod pertemuan Liga Super musim ini, kekuatan kedua-dua pasukan tidak banyak berbeza apabila KL Plus menang 2-0 di Cheras dan tewas 0-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Cuma apa yang akan menjadi kelebihan adalah semangat pemain Kelantan dan so- rakan penyokong fanatik skuad Wira Merah itu," katanya.

Husni juga berkata, KL Plus turut berwaspada dengan pemain pinjaman Kelantan dari Felda United iaitu Mohd. Nazrul Erwan Makmur yang pernah menyarung jersi kelab itu dua musim lepas.

"Mohd. Nazrul yang merupakan pemain pertahanan mungkin mengetahui serba sedikit tentang taktik dan gaya permainan KL Plus," katanya.

Husni turut yakin Kelantan tidak melakukan perubahan drastik dari segi taktik dan formasi walaupun baru diambil alih oleh bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathia- nathan bagi saingan Piala Malaysia.

KL Plus adalah antara tiga kelab yang mara ke peringkat suku akhir setelah muncul juara Kumpulan A dengan mengumpul 13 mata manakala Kelantan muncul juara Kumpulan E dengan 15 mata. - Kosmo

Tiada ulasan: