17 Okt 2009

Jangan lupa diri - Annuar

JANGAN mudah lupa diri, sebaliknya terus mempertingkatkan semangat untuk mencipta kejayaan.

Itu peringatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa kepada seluruh warga skuad Wira Merah itu.

Menurutnya, semua pemain diingatkan untuk terus fokus dan mengetepikan kegembiraan menepati sasaran ke peringkat suku akhir serta habuan yang agak lumayan diberikan kepada mereka.

Annuar mahukan para pemain terus berusaha untuk mara ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, misi pertama pasukan sudah dicapai tetapi ia tidak harus terhenti setakat itu sahaja.

"Pertemuan dengan KL Plus bukan tugas yang mudah, mereka juga memiliki pemain-pemain bertaraf kebangsaan dan beberapa lagi pemain yang mampu beraksi dengan baik.

"Pada peringkat ini perlawanan pasti berbeza. Ia peringkat kalah mati dan semua pasukan pastinya akan menurunkan pasukan terkuat jadi ia satu cabaran untuk kita," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bonus kepada pemain baru-baru ini.

Tambahnya, beliau berpuas hati dengan persembahan pasukan Kelantan setakat ini tetapi tumpuan perlu diberikan untuk mara ke peringkat yang lebih jauh.

Katanya, Kelantan kini merupakan sebuah pasukan yang diperkasakan dan dengan kehadiran beberapa pemain bertaraf bintang beliau yakin Kelantan kini sudah bersedia untuk menggalas cabaran yang lebih besar.

"Siapa sangka kita mampu ke Bukit Jalil menentang Selangor pada final Piala FA, April lalu. Tetapi kita buktikan yang kita mampu dan kita juga sebaris dengan pasukan gergasi lain.

"Kali ini dalam Piala Malaysia, kita yakin matlamat untuk ke Bukit Jalil adalah di dalam jangkauan dan kita mampu untuk melunaskan impian tersebut," jelasnya.

Tanpa mahu menyembunyikannya, Annuar turut mengakui peningkatan aksi pasukan Kelantan musim ini banyak dibantu oleh sokongan peminat.

"Saya percaya sokongan yang diberikan ini menjadikan para pemain lebih bersemangat dan sorakan yang sentiasa bergema di stadium barangkali menjadi tonik kepada pemain selama ini," tambahnya.

Sementara itu, Annuar turut mengumumkan bahawa harga tiket untuk perlawanan menentang KL Plus di Kota Bharu pada 24 Oktober ini di naikkan bagi tujuan mengisi tabung gempa yang berlaku di Padang, Indonesia baru-baru ini.

"Harga tiket dinaikkan sebanyak RM2 bagi tempat duduk terbuka dan RM5 bagi astaka," jelasnya.

Tiada ulasan: