1 Okt 2009

Kelantan semakin garang



INDRA meuncul wira Kelantan apabila meledak gol tunggal pada pertemuan menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin.














DUA kemenangan dalam dua perlawanan membuktikan Kelantan benar-benar optimis memburu kejuaraan berprestij itu.
Lebih manis, pasukan yang ditundukkan di gelanggang keramat mereka Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu adalah juara treble dua kali, Kedah.

Seperti mahu membuktikan sesuatu, tindakan kurang bijak bekas jurulatih mereka, Peter James Butler yang meninggalkan pasukan ketika persiapan kempen Piala Malaysia sedang berjalan sedikitpun tidak merencatkan semangat pemain.

Aksi kedua di bawah bimbingan jurulatih baru, B. Sathianathan, beberapa perubahan taktikal dilihat memberi kesan.

Khidmat penggempur lincah mereka, Che Hishamuddin Hassan kembali mendapat tempat apabila digandingkan dengan Khalid Jamlus dan Norfarhan Mohamad.

Pada babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan terlalu berhati-hati namun, beberapa serangan hampir menerjah jaringan lawan masing-masing.

Che Hishamuddin hampir meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-19 namun rembatannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Selang enam minit kemudian, Helmi sekali lagi beraksi cemerlang apabila berjaya menguis keluar bola daripada sepakan percuma ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahyuddin.

Kedah memiliki peluang terbaik melalui Fauzi Shaari pada minit ke-33 apabila sepakan beliau menerjah gawang Kelantan, namun penjaga garisan mengesannya berada pada kedudukan ofsaid.

Pada minit ke-41, Badrol hampir mencemaskan 25,000 penyokong Kelantan melalui tandukan menarik, namun Halim Napi menafikan percubaan tersebut.
Babak kedua mula menampakkan perubahan apabila Kelantan menggandakan asakan untuk memburu gol dan Indra menceriakan peminat sang Kijang apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-49.

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my

Tiada ulasan: