PETALING JAYA - Tiada lagi pengundian peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), nama popular atau pilihan dan kali ini diganti dengan pilihan terbaik serta pembabitan lebih besar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan menghiasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2009, November ini.
Satu lagi perubahan mendadak ialah penilaian pemenang anugerah hanya akan tertumpu ketika aksi Piala Malaysia yang bakal bermula 26 September ini hingga peringkat separuh akhir 31 Oktober tanpa mempedulikan langsung Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA sepanjang musim lepas.
Sepuluh kategori ditampilkan dalam anugerah tajaan 100PLUS di Hotel Hilton di sini 4 November ini ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.
Turut diumumkan dalam sidang akhbar pengumuman anugerah di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam ialah Pemain Harapan Terbaik, Pemain Paling Bernilai, Kelab Peminat Terbaik, Persatuan Bola Sepak Terbaik dan Kelab Terbaik.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, proses pemilihan baru ini akan memastikan hanya yang terbaik dan benar-benar berhak menerima anugerah itu sekali gus dilakukan dengan lebih profesional.
"Terbaik yang dimaksudkan di sini ialah dari sudut bola sepak iaitu profesionalisme, kebolehan, keterampilan, mutu permainan dan kemahiran. Kadar ganjaran buat pemenangnya bakal diputuskan apabila lebih banyak penaja diperoleh," katanya.
"FAM akan memutuskan pemenang bagi Kelab Terbaik (pengganti Pemain Import Terbaik), Persatuan Bola Sepak Terbaik dan Kelab Peminat Terbaik manakala selebihnya dipilih oleh panel khas yang melibatkan Persatuan Jurulatih Malaysia dan wakil media selain pegawai FAM," katanya.
Ditanya mengapakah cuma penilaian anugerah ditumpukan kepada Piala Malaysia sambil mengabaikan tiga lagi persaingan, kata Azzuddin: "Pertandingan ini merupakan yang terpenting dalam Liga M. Ia mengandungi nilai sejarah dan berprestij di negara ini."
Mengenai sama ada ia bakal menimbulkan ketidakadilan kepada juara Liga Perdana, Harimau Muda yang tidak layak ke Piala Malaysia sedangkan memiliki ramai calon berkelayakan bagi anugerah itu, jelasnya: "Pemain dan pasukan itu lebih ditujukan untuk dididik dan biarlah begitu."
Azzuddin turut mengakui bahawa rekod disiplin pemain, pegawai dan pasukan yang kerap diheret ke Jawatankuasa Tatatertib sehingga dikenakan hukuman tertentu sepanjang musim ini, bakal dipertimbangkan dalam mencalonkan mereka ke anugerah kali ketiga ini.
Mengulas lanjut mengenai hasrat penarikan diri Sarawak daripada Liga M mulai musim depan hingga 2012 pula katanya, persatuan bola sepak negeri itu turut diingatkan bahawa ketidakaktifan mereka dalam tempoh tersebut boleh mengakibatkan mereka digantung oleh Pesuruhjaya Sukan.
"Mungkin penarikan diri itu tidak melanggar syarat dan peraturan pertandingan FAM setakat ini tetapi setahu saya, jika sesebuah persatuan itu tidak aktif antara setahun hingga tiga tahun, ia terdedah kepada penggantungan di bawah Pesuruhjaya Sukan," katanya.
ihsan-utusan online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan