12 Ogo 2009

Kelantan intai pemain kelab

SELEPAS menduduki tangga keenam Liga Super, tumpuan Kelantan kini terarah kepada persiapan mengintai peluang dalam kempen Piala Malaysia, September ini.
Bagi menghadapi cabaran piala berprestij itu, pengurusan skuad The Red Warriors itu mula mengatur persiapan awal dengan mengintai dua atau tiga pemain yang akan dipinjamkan daripada kelab bagi memantapkan pasukan negeri dalam saingan Piala Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, berkata pencarian pemain dari kelab untuk dipinjamkan bagi mewakili pasukan negeri dilakukan bagi memantapkan posisi pertahanan dan tengah.
Beliau mengakui, faktor kecederaan pemain termasuk kapten pasukan, Badri Radzi ketika saingan penghujung Liga Super memerlukan pemain tambahan untuk menguatkan cabaran Kelantan dalam kempen Piala Malaysia.
Katanya, kemantapan posisi pertahanan juga diberi perhatian dengan mencari pemain pinjaman untuk memperkuatkan benteng pasukan ketika saingan Piala Malaysia bermula nanti.-
“Kita sedang kenal pasti calon pemain yang akan dipinjam daripada kelab dan urusan berkaitan dilakukan pengurusan bagi persediaan hadapi Piala Malaysia.
“Kelantan mempunyai cukup masa bagi memantapkan pasukan dalam menggalas cabaran pada Piala Malaysia yang dijangka bermula 26 September ini,” katanya di Kota Bharu, semalam.H-metro

Tiada ulasan: