11 Ogo 2009

Skuad B-23 serba kekurangan


KEHEBATAN pemain muda negara bakal diuji apabila mereka menentang Kenya dan China pada aksi persahabatan
minggu ini.


SKUAD bawah 23 negara (B-23) masih perlu belajar.
Demikian pengakuan jurulatih, K. Rajagobal.
Menurutnya, semua pihak perlu berfikir secara realistik dan logik apabila skuad kendaliannya itu turun menentang dua pasukan kebangsaan, Kenya dan China minggu ini.


Rajagobal


"Kemenangan tidak mungkin boleh dicapai dalam masa yang singkat. Pemain masih mentah dan masih perlu belajar untuk mematangkan diri dan oleh itu, semua pihak tidak harus memberi harapan yang terlalu tinggi," katanya.




Menurut Rajagobal, soal menang atau kalah tidak seharusnya dijadikan ukuran memandangkan mereka masih dalam proses pembelajaran untuk muncul sebagai sebuah pasukan yang mantap menjelang Sukan SEA 2009 di Laos pada Disember depan.

"Memang kita nak terapkan mentaliti di kalangan pemain supaya mereka sentiasa mahu memberikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.

"Tapi kita kena sedar yang tahap Kenya dan China ini jauh lebih baik berbanding kita. Apa yang lebih penting, kita perlu terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malam kelmarin, skuad B-23 negara menewaskan skuad Liga Super Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Biarpun dikejutkan dengan jaringan awal Kedah menerusi Shafiq Jamal, skuad B-23 negara membalas tiga gol hasil jaringan Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Kita tak boleh buat rumusan daripada satu perlawanan saja selepas kita berehat lama dan baru kembali berlatih minggu lepas. Bagaimanapun kemenangan ini bagus untuk meningkatkan moral dan keyakinan pemain," jelas Rajagobal.

Skuad B-23 negara bakal bertemu skuad kebangsaan Kenya malam esok di Stadium Shah Alam dan skuad kebangsaan China pada petang Sabtu di stadium yang sama.

Selepas itu, anak-anak buah Rajagobal itu akan berlepas ke Arab Saudi untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan negara itu pada 30 Ogos dan 1 September depan.

Mengikut ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 5 Ogos lalu, Malaysia naik lima anak tangga untuk menduduki tangga ke-152 manakala Arab Saudi (64), Kenya (105) dan China (108). -IHSAN KOSMO

Tiada ulasan: