13 Ogo 2009

Tetap bagus walau seri - Rajagobal


Pemain Malaysia, Mohd. Zaquan Adha (tengah) diasak dua pemain Kenya dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Walaupun pasukan bawah 23 tahun negara sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Kenya di Stadium Shah Alam semalam, jurulatih, K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan tahap permainan anak buahnya.

Menurut Rajagobal, pemainnya terutama di bahagian pertahanan berjaya mengekang pemain Kenya yang mempunyai kelebihan fizikal, malah mampu mengheret perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

"Semua pemain bermain dengan baik secara keseluruhannya seperti saya beritahu sebelum ini mereka masih lagi perlu banyak belajar," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Jelasnya, menentang sebuah pasukan yang kuat memberi peluang kepada pemain untuk belajar menghadapi perlawanan yang lebih kompetitif.

"Saya berasa gembira kerana Kenya sudi datang bertemu dengan Malaysia sekali gus memberi ruang kepada pemain saya menimba pengalaman sebanyak mungkin," katanya.

Kenya yang berkedudukan ranking ke-105 dunia menguasai perlawanan pada 10 minit awal separuh masa pertama, namun mereka gagal menembusi gawang yang dikawal, Farizal Marlias.

Pada minit ke-19, Kenya memperoleh sepakan percuma di sebelah kiri pintu gol Malaysia, namun sepakan yang diambil Julius Owina menuju tepat ke dakapan Farizal.

Seminit kemudian Malaysia pula mendapat sepakan percuma bagaimanapun tendangan yang diambil Safiq Rahim berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Kenya, Wilson Oburu.

Malaysia sekali lagi memperoleh peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-39 apabila Zaquan Adha Abd. Radzak melakukan hantaran lambung kepada Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal, bagaimanapun penyerang UPB-MyTeam itu gagal melakukan rembatan kemas.

Rajagobal cuba menukar rentak permainan pada separuh masa sambil mengharapkan hantaran lintang dari sebelah kanan dan kiri, bagaimanapun tugas yang dipikul oleh S. Kunanlan dan Khyril Muhymeen Abd. Zambri itu tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Malaysia hampir menjaringkan gol pada minit ke-81 apabila hantaran lintang pemain gantian, Amirul Hadi Zainal dari sebelah kanan menuju tepat ke Ahmad Fakri Saarani, namun tandukannya di dalam petak penalti tersasar keluar.

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tiada ulasan: