BERLIN - Sepantas kilat.
Itu yang dibuktikan jaguh pecut dunia, Usain Bolt kelmarin apabila mencipta rekod dunia acara 100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium Olimpik Berlin.
Dia menamatkan saingan dengan catatan 9.58 saat untuk mengatasi rekodnya sendiri 9.69 saat yang dilakukannya pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
"Sebagai seorang atlet, saya berlatih sepanjang tahun dan itulah yang saya lakukan dan hasilnya memang berbaloi," kata Bolt.
"Apabila saya turun ke gelanggang, saya tahu apa yang perlu saya lakukan.
"Ia bermakna saya boleh bergembira sebelum perlumbaan, tapi apabila menuju ke garisan permulaan, saya perlu menumpukan semula fokus saya dan melakukan sebaik mungkin tanpa rasa ragu-ragu."
Selain memenangi pingat emas pada temasya di Beijing tahun lepas, Bolt turut memenangi semua acara pecut pada temasya Olimpik itu dengan catatan rekod dunia.
Begitupun, pada aksi final kelmarin, dia terpaksa menangani rasa gemuruhnya apabila permulaannya dibatalkan buat kali pertama dalam kariernya ketika turun berdepan pencabar utama dari Amerika Syarikat, Tyson Gay.
Namun, seperti yang diramal, perlumbaan tersebut sekali lagi didominasi oleh pelari Jamaica itu sehingga ke garisan penamat.
Pencapaian Bolt itu adalah sesuatu yang luar biasa jika dinilai daripada kemampuan yang ada dalam diri lebih enam bilion manusia di muka bumi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan