Bersama Raja Ahmad Zainuddin
JALINAN kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Bola Sepak England dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), saya lihat membuka satu lembaran baru dan penuh makna untuk masa depan bola sepak negara.
Tidak dinafikan, setakat menjadi penganjur pelbagai kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Remaja 1997 dan Piala Asia, dua tahun lalu, kita boleh dikatakan sudah berjaya.
Tapi, ia masih belum memuaskan hati ramai peminat bola sepak tempatan, selagi kita tidak mampu melahirkan sebuah pasukan yang kuat, mantap dan berjaya di persada antara bangsa.
FAM mempunyai akademi bola sepak dan bantuan teknikal seumpama itu amat penting untuk tujuan pembangunan yang lebih berkesan. Klinik bola sepak juga penting bagi pelajar sekolah rendah mendapatkan pendedahan awal.
Saya berpendapat jalinan mesra ini juga akan menjadi hubungan yang akan dapat membantu untuk membuka peluang sekurang-kurangnya pendedahan kepada pemain muda negara dengan kelab-kelab di luar negara.
Malah ia juga boleh mengetuk pintu hati persatuan bola sepak negeri atau kelab, menjalin hubungan dengan kelab-kelab terkenal di sana, bagi membuka jalan sama ada berlatih atau mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab berkenaan untuk menambah pengetahuan.
Andainya nanti, pemain import dibenarkan beraksi semula di liga tempatan, ia akan memudahkan persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk berhubung terus dengan kelab-kelab di sana bagi menarik pemain, tanpa bergantung kepada ejen lagi.-ihsan bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan