Mereka bagaimanapun hanya dibenarkan untuk meminjam pemain-pemain dari pasukan yang tidak beraksi pada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September depan.
Ini bermakna, pemain-pemain yang boleh dipinjam hanyalah di kalangan pemain daripada pasukan T-Team, Proton FC, Felda United, PKNS, Shahzan Muda dan SDM Kepala Batas.
Namun, pemain-pemain yang paling laris diburu oleh 20 pasukan yang beraksi dalam Piala Malaysia sudah tentu daripada pasukan T-Team, naib juara Liga Perdana musim ini.
Tiga pemain T-Team iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana, Haris Safwan Kamal; bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib dan pemain yang mengisi slot B-20 tahun, Fakhrurazi Musa sudah pun memilih untuk beraksi sebagai pemain pinjaman bersama pasukan KL Plus.
"Sejak dari awal musim KL Plus menyatakan minat untuk mendapatkan beberapa pemain T-Team jika kami tidak dapat beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.
"Pengurusan mereka juga berurusan secara profesional dan berterusan menunjukkan minat untuk meminjam kami. Lagipun saya sendiri sudah biasa dengan Mat Zan Mat Aris (jurulatih KL Plus) dan beberapa pemain mereka," kata Rosdi, 33, ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain itu, kapten T-Team, Hairuddin Omar (gambar) juga menjadi buruan banyak pasukan untuk meminjamnya termasuk Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan tetapi pemain yang berasal dari Setiu itu masih belum membuat keputusan muktamad pasukan pilihannya.
Dua lagi pemain T-Team, Azrul Hazran Amiludin Baki dan Shafuan Adli Shaari pula dikhabarkan bakal dipinjam oleh skuad Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan