Terengganu kini menghuni tangga keempat dengan 46 mata manakala Kedah di tangga ketiga dengan 48 mata dan Johor FC pula di tangga kelima dengan 45 mata.
Mereka masing-masingnya akan menghadapi perlawanan terakhir pada Sabtu ini.
Hanya tiga pasukan ini masih berpeluang untuk meraih tempat ketiga Liga Super sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM200,000 kerana pasukan di tangga keenam, Kelantan kini hanya memiliki 44 mata dan terkeluar daripada persaingan.
Juara Liga Super dengan hadiah wang tunai RM500,000 telah sah milik Selangor manakala naib juara dengan hadiah wang tunai RM300,000 menjadi milik Perlis.
Antara Kedah, Terengganu dan Johor FC, kelebihan untuk muncul pemenang tempat ketiga berpihak kepada juara Liga Super 2007 dan 2008 iaitu Kedah.
Ini kerana, jika Kedah berjaya mencatat kemenangan ketika melayan kunjungan Pulau Pinang di Alor Setar Sabtu ini, mereka tidak mampu lagi dipintas oleh Terengganu mahu pun Johor FC.
Namun jika Kedah tewas mengejut, Terengganu mampu muncul pemenang tempat ketiga jika mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Paroi.
Bagi Johor FC, mereka seakan mengharapkan keajaiban supaya Kedah dan Terengganu tewas dalam perlawanan terakhir sambil mereka pula mencatat tiga mata penuh ke atas Kelantan di Pasir Gudang untuk menduduki tangga ketiga.
Sementara itu, jaringan hatrik oleh Ashaari Shamsudin ketika Terengganu menewaskan Pulau Pinang 4-1 malam kelmarin memungkinkan dia berpeluang memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak.
Ashaari, 24, kini berkongsi 16 gol bersama penyerang Perlis, Nizaruddin Yussof dan mana-mana pemain yang berjaya menjaringkan lebih banyak gol Sabtu ini akan muncul pemenang Kasut Emas. -ihsan kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan