STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah diakui tidaklah setaraf Stadium Wembley atau lebih dekat lagi Stadium Nasional Bukit Jalil, tapi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) ada alasan untuk menjawab tohmahan dilemparkan jurulatih Kelantan, Peter Butler terhadap badan induk bola sepak negeri itu.
“Beliau (Butler) kena faham apa berlaku ke atas gelanggang asal,” kata Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh merujuk kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh awal bulan lalu.Pendaftaran gelanggang asal Terengganu bagi saingan Liga Super musim ini dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah Stadium Sultan Mizan dan kerajaan negeri difahamkan tidak mahu lagi Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menjadi gelanggang utama saingan Liga M.Namun, selepas kejadian bumbung runtuh memaksa gelanggang asal ditukar ke stadium berkenaan selepas mendapat kebenaran FAM yang turut memutuskan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal beberapa hari selepas itu.
Che Mat turut menempelak Butler dengan menyifatkan perkara itu tidak timbul dan tindakan Butler menyamakan padang ragut adalah lumrah bagi seseorang yang berdepan dengan kekalahan.
“Biasalah bagi mereka mengalami kekalahan. Lihatlah beberapa perlawanan sebelum ini seperti kita berdepan KM Naza (Kuala Muda Naza) di gelanggang sama. Mereka tewas tapi tidak ada pula perkataan seperti Butler keluar dari mulut mereka.“Tapi, saya hairan mengapa dia bersikap demikian. Kalau hendak mencari 1,000 alasan saya rasa, tidak perlulah. Dia sepatutnya tahu bahawa stadium berkenaan dalam proses pengubahsuaian.
“Ketika kejadian bumbung runtuh berlaku, stadium lama masih dalam kerja-kerja ubahsuai. Takkan kalau hari ini tanam rumput esok terus membesar. “Itulah sewajarnya saya gambarkan dengan apa diperkatakannya,” katanya yang turut memberitahu stadium lama di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Butler, bekas pemain West Ham kelmarin menyamakan padang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hanya sesuai dijadikan padang ragut lembu dan bukannya pentas perlawanan bola sepak Liga Super.Dia yang kecewa dengan keadaan padang tidak rata dan mempunyai tompokan tidak berumput selepas menyaksikan pasukan kendaliannya tewas 0-2 di tangan Terengganu, Selasa lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan