28 Jul 2009

Rombakan Liga M Isnin ini


Saya jamin satu rombakan pasti berlaku dengan soal kebajikan pemain dan kewangan pasukan bakal menjadi syarat utama penyertaan pasukan dalam liga musim depan Azzuddin Ahmad Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia

PETALING JAYA - Baru enam tahun berjalan sejak diperkenalkan pada 2004, Liga Malaysia kian pasti dirombak lagi bagi musim depan gara-gara kerenah segelintir pasukan yang tidak mampu mengharunginya atas alasan kesempitan kewangan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad memberikan jaminan rombakan itu walaupun hanya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang mampu memuktamadkan format sewajarnya bagi persaingan tertinggi negara itu dalam mesyuarat Isnin ini.

Ditemui selepas sidang akhbar praperlawanan akhir Bawah 14 100 PLUS Piala Menteri Pelajaran, katanya: "Saya jamin satu rombakan pasti berlaku dengan soal kebajikan pemain dan kewangan pasukan bakal menjadi syarat utama penyertaan pasukan dalam liga musim depan.

"Kami perlu memperketatkannya memandangkan akibat ketidakcekapan pengurusan pasukan, imej bola sepak negara dan nama baik FAM terjejas sedangkan kita sudah berada di era profesional."

Beliau berkata demikian di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Azzuddin bagaimanapun enggan mengulas sama ada rombakan itu melibatkan penurunan dua pasukan terbawah Liga Super, Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Liga Perdana atau Sarawak dan Sinar Dimaja Mai Sarah ke Liga FAM pada musim depan.

Menurutnya, bola sepak negara juga bakal kerugian besar sekiranya satu demi satu pasukan menarik diri daripada liga yang merangkumi Piala Malaysia, Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala FAM dan Piala Presiden sedangkan ramai pemain berbakat yang mewakili mereka, mampu diketengahkan.

"Akibat tidak dapat membayar gaji pemain atau jurulatih seperti yang berlaku pada Steve Darby (Perak) dan Robert Alberts, nama baik FAM turut terjejas di mata FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) atau ada persatuan negeri yang cuba diheret ke mahkamah oleh pemain," katanya. -Ihsan utusan

Tiada ulasan: