KUALA LUMPUR – Mungkinkah Manchester United akan mempamerkan belang sebenar pada perlawanan kedua hari ini setelah hampir dikejutkan dengan aksi bertenaga pasukan kebangsaan, kelmarin?
Atau mungkin juga keputusan 2-3 kelmarin disebabkan United ‘beri muka’ kepada pasukan kebangsaan dan menyimpan tenaga untuk memberikan keputusan yang mengaibkan seperti mana pada 2001 di mana kita kalah 0-6?
Ini merupakan antara kemungkinan yang bermain difikiran jurulatih kebangsaan K. Rajagobal menjelang perlawanan kedua United-Pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam hal ini, beberapa jurulatih berpengalaman tempatan berbeza pendapat apabila ditanya mengenai peluang pasukan kebangsaan untuk sekali lagi mempamerkan kejutan.
Jurulatih Kedah, Azrai Khor Abdullah tidak yakin kejutan ke atas United, kelmarin mampu diulangi oleh pemain kebangsaan pada perlawanan kedua hari ini.
Alasannya, perlawanan kelmarin diadakan pada sebelah waktu di mana pemain United keletihan beraksi dalam cuaca panas, juga kerana baru sahaja tiba di negara ini sehari sebelum perlawanan.
‘‘Keputusan 2-3 kelmarin memang baik namun secara peribadinya saya berpendapat United tidak beraksi pada tahap terbaik. Ini merupakan perlawanan pertama mereka selepas rehat musim liga bola sepak di negara mereka.
‘‘Kelmarin mereka juga mungkin memandang rendah kemampuan kita yang membawa kepada aksi kurang bersungguh-sungguh.
‘‘Namun esok (hari ini) mereka mungkin akan bangkit dengan aksi sebenar kerana mereka kini sudah mendapat rehat secukupnya.
‘‘Saya tidak rasa kecemerlangan yang kita lakukan kelmarin mampu diulangi. Lagipun para pemain kita sudah berhabis-habisan pada perlawanan kelmarin.
‘‘Begitu juga Amri Yahyah, bagi saya dua gol yang dijaringkan kelmarin hanya akan kekal sebagai kenangan paling manis dalam kariernya tanpa mampu diulangi esok.
‘‘Bagi saya keputusan kelmarin baik kerana sekurang-kurangnya kita tidak diaibkan dengan jaringan besar,’’ katanya.
United-Pilihan Malaysia beraksi dalam perlawanan kedua di stadium yang sama hari ini setelah Siri Jelajah 2009 kelab England itu dibatalkan di Indonesia ekoran insiden pengeboman dua hotel mewah di Jakarta, Jumaat lalu.
Walaupun kalah, kelmarin Amri Yahyah muncul wira pasukan kebangsaan apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan ke-61.
Sebelum itu, United membayangkan satu lagi pesta gol apabila mendahulu 2-0 menerusi jaringan Wayne Rooney pada minit ke-8 dan Nani pada minit ke-27.
Kedudukan tersebut bertahan sehingga minit ke-84 apabila Micheal Owen, yang dimasukkan pada babak kedua menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.
Namun, jurulatih Perlis Irfan Bakti melaungkan nada yakin pasukan kebangsaan mampu meneruskan kecemerlangan kelmarin cuma beberapa aspek perlu diperbaiki.
Menurutnya, keputusan kelmarin membuktikan skuad kebangsaan sudah dapat menandingi pasukan terbaik di dunia, namun kita kalah dari segi taktikal.
Jelasnya, apa yang menarik ialah permainan agresif para pemain yang sentiasa mengejar bola.
‘‘Saya yakin pasukan kebangsaan mampu mengulangi kecemerlangan seperti mana kelmarin kerana kita telah membuktikan mampu memberi tentangan ke atas United yang beraksi dengan baik.
‘‘Walaupun United tidak beraksi hingga ke tahap maksimum tapi sebagai pemain profesional, mereka mahu menang dan tidak beraksi sambil lewa,’’ katanya. -ihsan utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan