30 Jun 2009

Pertembungan maruah


INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (tengah) pikul tugas getir untuk pastikan Kelantan meraih tiga mata penuh di Kuala Terengganu malam ini.





JIKA diukur daripada momentum empat kemenangan sebelum ini dan terbaru membenam cabaran Perak 4-0, kehadiran Kelantan di Kuala Terengganu malam ini pastinya menggamit kerisauan kem Sang Penyu.

Walaupun ada yang beranggapan Sang Kijang sudah terlambat untuk memburu takhta Liga Super tetapi anak-anak buah Peter James Butler mahukan lebih daripada itu.

Kemenangan di Kuala Terengganu pastinya menjadi kemenangan moral kepada Kelantan yang bakal turun berdepan Kedah pada 11 Julai depan pada perlawanan penutup tirai Liga Super di laman sendiri.

Penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha berkata, pasukannya perlu meneruskan rentak permainan seperti yang dipamerkan pada aksi menentang Perak, Sabtu lalu.

Menurutnya, kemenangan di Kuala Terengganu sangat penting dan semua pemain sudah memahami apa yang perlu mereka lakukan untuk itu.

"Jika berjaya menewaskan Terengganu di tempat mereka, ia adalah suatu yang menakjubkan dan kita tahu tugas itu agak sukar namun, tidak mustahil untuk dilakukan.

"Apabila pemain turun dengan semangat juang yang tinggi dan mereka bekerja keras untuk menang, kita tidak gentar untuk turun menentang sesiapa pun," katanya ketika dihubungi semalam

Tambahnya, dalam keghairahan mencari mata penuh, pemain juga perlu berwaspada dengan ancaman Terengganu kerana mereka memiliki ramai pemain berkualiti.

Hashim turut menamakan beberapa pemain yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak buahnya supaya mereka tidak pulang kosong ke Kota Bharu.

"Ismail Faruqi dan Ashaari Shamsuddin mungkin akan memusnahkan impian kita jika mereka diberikan ruang untuk bergerak kerana kedua-dua pemain ini memiliki kualiti dan sangat lincah.

"Badri (Radzi) pula perlu bijak menguasai bahagian tengah kerana Terengganu mempunyai Tengku Hazman Raja Hassan dan Zairo Anuar (Zailani)," ujarnya.

Sementara itu, Hashim turut memuji semangat yang ditunjukkan semua pemain Kelantan yang ketika ini 'memeningkan' pihak pengurusan apabila masing-masing bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Tiada ulasan: