23 Apr 2009

Keselamatan Diutamakan Dalam Perlawanan Akhir Piala FA

Perlawanan akhir Piala FA edisi 2009 di antara Selangor dengan Kelantan Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bakal mencorakkan landskap bolasepak negara apabila faktor keselamatan diutamakan melebihi prestij perlawanan.


Bagi skuad Kelantan bimbingan jurulatih Peter James Butler dari England, kejayaan menempatkan diri pada perlawanan akhir Piala FA merupakan pertama kali selepas 39 tahun bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetapi turut mengundang kebimbangan kepada pegawai-pegawainya.

Ini berikutan peristiwa penyokong-penyokong bola sepak Kelantan merusuh selepas "The Red Warriors" itu tewas 0-1 kepada pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Baharu, 7 April lalu.

Tiga hari kemudian, Lembaga Displin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda lebih RM100,000 ke atas KAFA dan juga pasukan Kelantan digantung beraksi di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV sepanjang musim ini. (Kelantan beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue rasminya).

Setiausaha Agung KAFA Mohamad Noordin Awang tidak menafikan wujudnya kebimbangan akan berlaku pergaduhan atau rusuhan terutamanya jika keputusan perlawanan memihak kepada Selangor.

"Saya tidak nafikan segelintir penyokong Kelantan berkelakuan agak agresif. Dengan kehadiran lebih 30 ribu penyokong dari Kelantan ditambah pula kehadiran penyokong Kelantan yang menetap di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain, kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku pergaduhan atau rusuhan," katanya.

Keadaan selepas perlawanan amat membimbangkan pihak KAFA, tambahnya.

Dalam pada itu, pihak FAM menjangkakan kehadiran lebih 90,000 penyokong Selangor dan Kelantan yang akan menbanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. Jumlah tersebut lebih 90 peratus daripada kapasiti 100,000 stadium itu.

"Oleh yang demikian, KAFA meminta pihak berkuasa terutamanya pihak Polis menambahkah bilangan anggota dan pegawai yang bertugas pada malam perlawanan akhir nanti.

KAFA juga berharap penyokong-penyokong Kelantan menunjukkan tahap disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi dengan tidak melakukan perkara tidak diingini walau apa sekalipun keputusan perlawanan.

"Jika penyokong Kelantan menjaga perilaku, pihak KAFA dapat meminta pertimbangan daripada FAM untuk melepaskan penggantungan menggunakan Stadium Sultan Mohamed KE-IV nanti. Pasukan Kelantan akan berpeluang sekali lagi beraksi tempat sendiri," katanya.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan pasukan Selangor, juga dikenali sebagai "The Red Giants" yang merupakan pasukan bola sepak yang paling berjaya dalam sejarah bola sepak negara dengan memenangi sebanyak empat kali (1991, 1997, 2001, 2005) Piala FA.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor Hamidin Mohd Amin berkata: "Selangor sudah biasa bermain dalam perlawanan akhir Piala FA tetapi kali ini berlainan kerana berhadapan dengan pasukan yang lebih handal.

"Ini ditambah pula, pasukan Selangor akan berhadapan dengan 'suasana perlawanan yang agak berbeza' kali ini," katanya sambil melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan.

Sementara itu, Komander FRU Malaysia, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata seramai 1,279 anggota dan pegawai akan bertugas mengawasi keadaan di dalam dan luar stadium pada malam perlawanan akhir itu.

Anggota dan pegawai terdiri daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am, Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Pengesan dan lain-lain, dan mereka terbahagi kepada beruniform dan berpakaian preman.

"Penyokong-penyokong ditegah sama sekali membawa ke dalam stadium sebarang objek keras seperti minuman dalam tin dan botol air. Begitu juga dengan bahan letupan seperti mercun," katanya lagi.

Untuk mengelak penyeludupan masuk mercun, pemeriksaan badan rapi akan dilakukan di setiap pintu masuk stadium.

"Pihak Polis juga akan menempatkan anggota polis berpakaian preman di kalangan penyokong-penyokong. Jika, masih ada penyokong membakar dan melontar mercun ke padang, mereka akan ditangkap serta merta dan diambil tindakan," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: