23 Apr 2009

Kerajaan negeri arah naik taraf Stadium Sultan Muhammed IV

KOTA BHARU - Kerajaan negeri telah mengarahkan usaha menaik taraf tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammed IV di sini, dilakukan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, ia bagi memastikan keadaan lebih terjamin.Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya tahap keselamatan stadium yang telah berusia itu tidak lagi dipersoalkan terutama semasa perlawanan bola sepak.

"Kita berharap apabila keadaan di stadium menjadi lebih selamat pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menimbangkan semula larangan yang dikenakan kepada pasukan negeri mengadakan perlawanan di situ," katanya di sini, semalam.

Larangan yang dikenakan itu telah menjejaskan sumber kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi mengurus skuad negeri yang banyak bergantung kepada jualan tiket di gelanggang sendiri.

Menurut Abdul Fattah, antara yang akan diperkemaskan adalah pagar pemisah dan pintu keselamatan untuk pemain agar tidak mudah terdedah kepada tindak-tanduk penonton.

Bagaimanapun beliau tidak memberitahu jumlah peruntukan untuk tujuan itu.

Tiada ulasan: