2 Mac 2009

Butler puas hati


PEMAIN Selangor, Sanjos Sundawat (kiri) cuba mengasak pemain Kelantan, Mohd. Zamri Ramli dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Naim Aziz


















SHAH ALAM - Tewas 3-0 ke atas Selangor dalam pertembungan Liga Super kelmarin sedikit pun tidak melemahkan semangat jurulatih Kelantan, Peter Butler untuk terus memuji persembahan yang disajikan oleh anak buahnya.

Saingan yang panas dengan beberapa insiden seperti membaling mercun, botol air dan kerusi antara kedua-dua penyokong di Stadium Shah Alam itu menyaksikan jaringan R.Surendren pada minit keempat, D.Surendren minit ke-69 dan C.Premnath minit ke-90.

Butler berkata, pujian harus diberikan kepada pemainnya yang dilihat beraksi dengan baik dan berjaya mengawal perlawanan walaupun tewas.

"Saya bangga dengan pemain, mereka mengawal permainan dan pengawalan bola juga memihak kepada kami cuma serangan balas yang dilakukan oleh pasukan lawan menghukum kealpaan kami," katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Jelasnya, perjalanan jauh yang ditempuhi pemain dan semangat yang dimiliki membuatkan dia berasa bangga dengan pasukannya.

"Kalau boleh kami mahu meneruskan rentak kemenangan tetapi apa boleh buat ini adalah bola sepak, saya harap kekalahan ini akan memberi pengajaran berguna buat pemain," katanya.

Kata jurulatih yang fasih berbahasa Melayu itu, jaringan gol pihak lawan juga ternyata berkualiti, terutama sepakan percuma yang diambil D. Surendren.

"Permainan malam ini (kelmarin) juga ternyata berkualiti dan jika pemerhati bola sepak datang juga mereka tentu bersetuju, saya tidak kisah jika ada yang mengatakan perlawanan ini seperti 10 tahun lalu.

"Saya juga tidak ada masalah dengan pengadil, segala keputusan yang diberikannya adalah benar dan dia sudah bekerja keras hari ini, sukar baginya untuk mengawal perlawanan besar seperti ini," katanya.

Tambahnya, layangan kad merah kepada penjaga gol Kelantan, Halim Napi pada minit ke-77 juga dianggap satu keputusan yang benar selepas penjaga gol itu melempar bola kepada Premnath.

Kekalahan tersebut merupakan yang pertama buat Kelantan jika diikut dari perlawanan di atas padang apabila kekalahan kedua diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pasukan itu gagal menyediakan gelanggang yang sempurna menentang KL PLUS 3 Januari lalu, sekali gus memberikan kemenangan percuma 3-0 untuk pasukan Lembah Klang itu.

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tiada ulasan: