"IA kemahuan para pemain dan kami perlu menghormati kemahuan mereka."
Itu reaksi jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan
ketika diminta mengulas isu pertukaran venue aksi separuh akhir pertama
Piala Malaysia menentang Kelantan pada 18 Oktober ini.
Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima rayuan
Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) yang pada mulanya meminta
aksi tersebut diadakan di Stadium Shah Alam.
Namun, disebabkan banyak rungutan daripada barisan pemain ATM, PBAT
meminta aksi itu kembali diadakan di gelanggang asal mereka - Stadium
Majlis Perbandaran Selayang.
Sathianathan mengakui kesilapannya sebelum ini yang terburu-buru mahu
mengadakan perlawanan itu di stadium lebih besar dan selesa serta
memiliki aspek kawalan keselamatan lebih bagus.